GELOMBANG rasa tidak puas hati terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak seharusnya diterjemahkan dengan tindakan memboikot Harimau Malaya ketika skuad negara sedang mengharungi kempen Piala ASEAN 2026, kata pemerhati bola sepak tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid.
Menurutnya, setiap penyokong berhak menegur dan mengkritik FAM demi memastikan tadbir urus bola sepak negara terus berada pada landasan yang betul, namun perbezaan pandangan terhadap badan induk itu tidak wajar menjejaskan sokongan kepada pasukan kebangsaan.
Iklan
Iklan
"Kita boleh berbeza pandangan terhadap pentadbiran FAM, tetapi jangan sesekali menghukum pasukan kebangsaan.
"Sokongan penyokong adalah sumber kekuatan pemain, lebih-lebih lagi ketika mereka mengharungi cabaran besar," katanya.
Ahmad Muzakkir berkata, sebarang tuntutan perubahan atau reformasi dalam FAM sepatutnya disalurkan menerusi saluran yang betul dan dilakukan secara berhemah tanpa menjejaskan moral skuad kebangsaan.
"Hari ini, yang lebih utama ialah Malaysia. Harimau Malaya sedang berjuang demi negara, demi lencana di dada dan demi jutaan rakyat Malaysia yang cintakan bola sepak.
"Marah kepada FAM tidak bermakna kita perlu membelakangi Harimau Malaya. Sokonglah pasukan negara kerana apabila mereka beraksi, maruah Malaysia turut dipertaruhkan," katanya.