SHAH ALAM - Lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatat kemenangan dengan majoriti besar melebihi 12,000 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan berdasarkan keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Daripada lima kerusi itu, DUN Paroi merekodkan majoriti tertinggi apabila calon Pas mewakili Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zin memperoleh 32,004 undi.
Iklan
Iklan
Beliau memperolehi majoriti 16,959 undi, sekali gus menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shahir Mohd Shah yang meraih 15,045 undi dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd Nazree Mohd Yunus yang memperolehi 2,205 undi.
Bagi DUN Bukit Kepayang, calon DAP, Nicole Tan Lee Kon mempertahankan kerusi tersebut dengan memperoleh 24,096 undi, sekali gus mengatasi calon Gerakan dari PN, Lee Boon Shian yang hanya memperolehi 8,889 undi dengan majoriti 15,207 undi.
Di DUN Chembong, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Zaifulbahri Idris mencatat kemenangan besar apabila meraih 17,160 undi, meninggalkan calon PH, Danish Nazran Murad (PH-PKR) yang memperoleh 3,397 undi dengan majoriti 13,763 undi.
Sementara itu, calon BN, Datuk Mustapha Nagoor turut mencipta kemenangan bergaya di DUN Palong apabila memperoleh 15,197 undi dengan majoriti 13,702 undi, selepas menewaskan calon PH, Muhammad Zahin Zinal Abidin dan calon Bersatu, Rebin Birham.
Di DUN Gemas pula, calon PN, Ridzuan Ahmad memenangi pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 16,153 undi, menewaskan calon PH, Siti Aishah Seman @Othman dan calon Bersatu, Azman Abdullah untuk mencatat majoriti 12,624 undi.