Kenaikan mendadak kos pengebumian Islam MBSA membebankan rakyat

Iklan
Pemuda Pas Selangor membantah kadar bayaran baharu bagi pengurusan pengebumian di tanah perkuburan Islam di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) seperti yang diumumkan baru-baru ini. Gambar kecil: Dr Aubidullah

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor membantah kadar bayaran baharu bagi pengurusan pengebumian di tanah perkuburan Islam di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Selangor, Dr Aubidullah Fahim Ibrahim berkata, berdasarkan surat rasmi bertarikh 29 Jun 2026, MBSA telah bersetuju dan meluluskan cadangan kadar baharu bagi pengurusan pengebumian di Seksyen 21 dan Seksyen 31 Shah Alam.

Iklan
Iklan

"Kadar ini telah mula berkuatkuasa pada hari ini, 1 Ogos 2026. Melalui pemakluman tersebut, kadar harga baharu bagi penyediaan liang lahad dan kepuk kayu kini ditetapkan dengan peningkatan yang drastik iaitu RM270 untuk kategori Shah Alam, RM390 untuk kategori Luar Shah Alam, dan RM450 untuk kategori Bukan Warganegara.

"Kenaikan ini adalah sangat tidak munasabah lebih-lebih lagi ketika rakyat sedang bergelut dengan tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Aubidullah Fahim berkata, isu pokok yang ingin pertikaikan pihaknya adalah soal keutamaan dan tanggungjawab kerajaan.

Katanya lagi, umum mengetahui bahawa pendapatan tahunan MBSA kini dianggarkan mencecah angka setengah bilion ringgit hasil daripada kutipan cukai taksiran, pelesenan, kompaun, dan pelbagai sumber hasil pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan

"Dengan jumlah pendapatan yang begitu luar biasa besarnya, adalah sangat tidak wajar MBSA gagal menyerap kos pengurusan asas seperti penyediaan liang lahad dan kepuk kayu yang dianggarkan sangat kecil peratusannya berbanding keseluruhan bajet tahunan majlis.

"Menguruskan jenazah umat Islam adalah suatu tuntutan maslahat awam. Adalah menjadi tanggungjawab hakiki dan moral bagi sebuah kerajaan negeri dan PBT yang mengutip cukai daripada rakyat untuk memastikan kebajikan asas rakyat ini terbela.

"Pihak MBSA memberikan alasan bahawa pengenalan kadar harga baharu yang merangkumi perkhidmatan penyediaan liang lahad dan kepuk kayu ini bertujuan untuk meningkatkan penyeragaman pusara serta memudahkan pihak waris dalam urusan pengebumian," katanya.

Jelasnya lagi, jika benar tujuannya adalah untuk memudahkan rakyat, DPPNS ingin mempersoalkan mengapa inisiatif"penyeragaman" ini memangsakan poket waris yang sedang bersedih, walhal MBSA boleh menggunakan peruntukan bajet gergasinya untuk menampung atau memberi subsidi terhadap kos ini?

Tambahnya lagi, di manakah sinergi antara PBT dan institusi agama negeri seperti Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dalam menyediakan dana bantuan khas pengurusan jenazah agar waris tidak terus ditekan dengan caj yang tinggi?

"Oleh yang demikian, Pemuda Pas Selangor menggesa pihak Datuk Bandar Shah Alam serta Kerajaan Negeri Selangor untuk menarik balik serta-merta atau menangguhkan pelaksanaan kadar baharu yang bermula pada 1 Ogos 2026 ini untuk dinilai semula.

"Wujudkan mekanisme subsidi pengurusan jenazah khusus untuk rakyat tempatan Selangor menggunakan peruntukan daripada pendapatan MBSA yang dianggarkan mencecah RM 500 juta lebih tersebut.

"Kerajaan Negeri Selangor dan MBSA harus ingat, kebajikan rakyat bukan sekadar retorik di pentas ceramah, tetapi mesti diterjemahkan melalui polisi yang bersifat ihsan dan empati, terutamanya dalam urusan kematian," katanya.