Rumah kampung jadi transit PATI, suami isteri ditahan

Iklan
Taktik menjadikan sebuah rumah kampung sebagai lokasi transit PATI sebelum dihantar ke Kuala Lumpur terbongkar apabila lapan warga Indonesia bersama sepasang suami isteri tempatan diberkas dalam serbuan PGA di Kampung Gong Serapat, Pasir Puteh pada Jumaat. Foto PGA

PASIR PUTEH - Taktik menjadikan sebuah rumah kampung sebagai lokasi transit pendatang asing tanpa izin (PATI) sebelum dihantar ke Kuala Lumpur terbongkar apabila lapan warga Indonesia bersama sepasang suami isteri tempatan diberkas dalam serbuan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kampung Gong Serapat di sini pada Jumaat.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan menerusi Op Taring Wawasan itu dilakukan hasil risikan Cawangan Risik Batalion 7 PGA Kuantan dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ketika pemeriksaan dijalankan di rumah berkenaan, anggota PGA menemui tiga wanita warga Indonesia sedang bersembunyi di ruang tamu sebelum menemui lima lagi lelaki warga yang sama di dalam sebuah stor di belakang rumah.

"Kesemua lapan warga Indonesia itu gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah sebelum ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

Ahmad Radzi berkata, siasatan awal mendapati kesemua warga Indonesia terbabit memasuki negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sekitar Sungai Kelantan pada 30 Julai lalu sebelum dihantar ke rumah berkenaan sebagai lokasi transit.

Menurutnya, mereka mengaku kemasukan ke Malaysia diuruskan oleh ejen di Indonesia dengan bayaran RM4,000 bagi setiap individu.

Iklan

"Siasatan turut mendapati kesemua mereka bercadang ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja pembersihan yang dipercayai akan diuruskan oleh seorang lelaki tempatan," katanya.

Ahmad Radzi memberitahu, pihaknya turut merampas 10 unit telefon bimbit bernilai kira-kira RM22,000 serta beberapa barangan lain untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing ke atas semua tangkapan didapati negatif dadah.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.