KLANG – Program SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 sempena sambutan Hari Hutan Bakau Sedunia dan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor 2026 berjaya mencatatkan pencapaian membanggakan apabila diiktiraf oleh Malaysian Book of Records (MBOR).
Program itu menerima pengiktirafan tersebut menerusi kategori Penyertaan Terbesar dalam Program Pembersihan Bakaudengan penyertaan seramai 1,600 peserta daripada pelbagai agensi dan organisasi.
Program anjuran Landasan Lumayan Sdn Bhd (LLSB) itu berlangsung di Mangrove Point, Klang, melibatkan aktiviti pembersihan sampah serta penanaman anak pokok bakau kurap di kawasan Hutan Simpan Kekal Raja Lumu seluas 70 ekar (28 hektar) yang memainkan peranan penting dalam pemuliharaan ekosistem pantai negeri ini.
Program itu turut menyaksikan penyertaan Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) sebagai rakan kolaborasi menerusi sumbangan 100 anak pokok serta penglibatan 33 kakitangannya sebagai sukarelawan dalam aktiviti pembersihan sampah dan penanaman anak pokok.
Penyertaan tersebut merupakan manifestasi konkrit komitmen KSSB dalam melaksanakan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) sebagai teras utama tadbir urus korporat syarikat.
Ketua Jabatan Kemampanan Korporat KSSB, Mohd Nizam Ishak berkata, syarikat KSSB yakin setiap entiti perniagaan memikul tanggungjawab memelihara alam sekitar serta memacu kesejahteraan masyarakat.
"Penyertaan KSSB dalam program SMG Mega Mangrove Cleanup ini bukan sekadar simbolik, malah cerminan sebenar komitmen kami terhadap prinsip ESG serta usaha memulihara hutan bakau di Selangor," katanya.
Sejajar dengan hala tuju kelestarian tersebut, KSSB turut mencatatkan rekod penyertaan yang konsisten dalam pelbagai inisiatif penghijauan sepanjang tahun.
Sebelum ini, KSSB telah menyertai pelbagai inisiatif penghijauan, termasuk gotong-royong membersihkan sungai, pelepasan anak ikan dan penanaman pokok berskala besar di Bukit Ampang, Sungai Panjang dan Cameron Highlands di bawah Program Penghijauan Malaysia.
Penglibatan kakitangan KSSB dan anak syarikatnya menerusi Program Penghijauan Malaysia yang dianjurkan ini mencerminkan komitmen jitu syarikat dalam memperkasakan agenda penghijauan negara.
Menerusi penyertaan berterusan dalam pelbagai inisiatif sebegini, KSSB berhasrat memupuk kesedaran dalam kalangan pekerja serta masyarakat awam mengenai kepentingan pematuhan ESG dan pemuliharaan alam sekitar.
KSSB turut berharap usaha sedemikian dapat menjadi pemangkin kepada perubahan positif dalam amalan perniagaan dan gaya hidup masyarakat ke arah kelestarian yang lebih holistik pada masa hadapan.