SHAH ALAM - Amalan perakauan kreatif bagi menunjukkan prestasi kewangan syarikat atau institusi kelihatan baik berbanding realiti ekonomi sebenar, tak semestinya menyalahi undang-undang jika masih berada dalam lingkungan piawaian perakaunan.
Bagaimanapun, amalan tersebut bercanggah dengan semangat ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik sekiranya bertujuan kelirukan pengguna penyata kewangan atau sembunyikan risiko sebenar.
Pakar Kewangan Islam, Dr Razli Ramli berkata, perakauan kreatif merujuk kepada penggunaan pertimbangan dalam piawaian perakaunan untuk bentangkan prestasi kewangan yang nampak lebih baik atau lebih stabil berbanding realiti ekonomi sebenar.
Beliau memberi analogi mudah bagi menjelaskan situasi tersebut.
"Analogi yang mudah ialah seseorang yang mengambil gambar menggunakan filter. Individu itu masih orang yang sama, tetapi gambar yang dipaparkan kelihatan lebih cantik daripada keadaan sebenar. Begitu juga dalam penyata kewangan.
"Angka yang dilaporkan mungkin masih berdasarkan transaksi sebenar, tapi pemilihan kaedah pengiktirafan hasil, penilaian aset atau masa merekod keuntungan boleh memberi gambaran prestasi yang jauh lebih baik daripada realiti ekonomi organisasi tersebut," katanya kepada Sinar Bisnes, pada Jumaat.
Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (LTH) mendedahkan, pembayaran agihan keuntungan (hibah) yang tinggi antara 2014 hingga 2017 didapati melangkaui kemampuan kewangan Lembaga Tabung Haji (LTH) sehingga menghakis rizab institusi itu, sekali gus menjadi antara punca utama kemerosotan kedudukan kewangannya.
Dalam masa sama, RCI juga mendapati, pengurusan LTH mengamalkan kaedah perakaunan kreatif bagi membolehkan hibah yang tinggi terus diisytiharkan.
LTH juga menggunakan nilai aset boleh direalisasikan (Realisable Asset Value atau RAV), berbanding nilai aset dalam penyata kewangan tahunan yang diaudit bagi menentukan pematuhan terhadap Seksyen 22 Akta Tabung Haji 1995.
RCI turut mengesahkan beberapa penemuan firma PricewaterhouseCoopers (PwC) termasuk kewujudan jurang defisit antara aset dan liabiliti LTH sejak 2014.
Menurut RCI, sekiranya piawaian Malaysian Financial Reporting Standards (MFRS) diguna pakai sepenuhnya, LTH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan ketika itu.
Mengulas lanjut, Razli berkata, amalan ketidaktelusan boleh berlaku meskipun penyata kewangan diaudit kerana audit hanya salah satu lapisan kawalan, bukan jaminan mutlak bahawa semua bentuk perakaunan kreatif akan dapat dikesan.
Katanya, juruaudit memberi pendapat sama ada penyata kewangan dibentangkan secara saksama berdasarkan piawaian perakaunan, bukannya menjamin tiada langsung penggunaan pertimbangan pengurusan.
"Sekiranya perakaunan kreatif berlaku secara berlebihan, ia biasanya mencerminkan kelemahan ekosistem tadbir urus secara keseluruhan.
"Ini termasuk budaya organisasi, keberkesanan pengurusan risiko, fungsi audit dalaman, jawatankuasa audit, lembaga pengarah serta mekanisme semak dan imbang.
"Bagi institusi kewangan Islam, IFSB (Islamic Financial Services Board) dan AAOIFI (Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions) menegaskan tadbir urus syariah hendaklah menjadi lapisan tambahan yang memastikan bukan sahaja pematuhan Syariah, malah integriti pelaporan kewangan dan perlindungan kepentingan pihak berkepentingan turut dipelihara," jelasnya.
Jelas beliau lagi, di Malaysia, biasanya syarikat menggunakan piawaian yang diterbitkan oleh Malaysian Accounting Standards Board melalui MFRS, yang sebahagian besarnya selaras dengan International Financial Reporting Standards (IFRS).
Selain itu katanya, terdapat keperluan tadbir urus di bawah Securities Commission Malaysia, Bursa Malaysia serta Bank Negara Malaysia bagi institusi kewangan.
"Walau bagaimanapun, tiada piawaian yang mampu menghapuskan sepenuhnya risiko manipulasi jika integriti pengurusan dan budaya organisasi lemah.
"Piawaian menyediakan kerangka, tetapi keberkesanannya bergantung kepada etika profesional, tadbir urus yang mantap dan penguatkuasaan yang berkesan," katanya.
Justeru, beliau menegaskan, tadbir urus yang baik tidak boleh bergantung kepada pematuhan teknikal semata-mata dan pendedahan RCI dalam isu LTH perlu menjadi pengajaran tersebut kepada semua pihak.
"Organisasi perlu membina budaya integriti yang meletakkan ketelusan, akauntabiliti dan pengurusan risiko sebagai nilai teras. Objektif utama penyata kewangan bukan sekadar menunjukkan keuntungan, tetapi menggambarkan kedudukan kewangan yang benar, saksama, telus dan boleh dipercayai.
"Bagi institusi kewangan Islam, pematuhan syariah hendaklah dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar memastikan kontrak mematuhi hukum syarak. IFSB dan AAOIFI menekankan bahawa ketelusan pelaporan, pengurusan risiko yang berkesan, fungsi Jawatankuasa Syariah yang bebas serta budaya amanah adalah elemen penting untuk memelihara maqasid syariah, melindungi kepentingan pendeposit dan mengekalkan keyakinan masyarakat," katanya.