KUALA LUMPUR – Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) memperkukuh kerjasama strategik dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) bagi memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada anggota polis serta keluarga mereka, khususnya dalam bidang keusahawanan dan pengurusan koperasi.
Naib Canselor UKKM, Datuk Profesor Dr. Azali Mohamed berkata, kerjasama dengan koperasi strategik seperti KPDRM mencerminkan komitmen universiti itu dalam memperkasa pembangunan modal insan melalui pendidikan tinggi yang berkualiti.
"Kami juga mengalu-alukan sebarang bentuk kolaborasi yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak demi kesejahteraan bersama," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sempena Sesi Rapat Umum dan Libat Urus UKKM Bersama KPDRM yang berlangsung di sini.
Delegasi UKKM diketuai oleh Datuk Profesor Dr. Azali, manakala KPDRM diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Nazarhanim Mohamad Razak.
Program julung kali diadakan itu merangkumi sesi podcast antara kedua-dua pemimpin, taklimat korporat UKKM, perbincangan kerjasama strategik serta penyerahan cek replika daripada KPDRM kepada UKKM.
Sementara itu, Nazarhanim berkata, kerjasama berkenaan merupakan satu langkah signifikan dalam memastikan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta keluarga mereka mempunyai akses kepada pendidikan tinggi yang berkualiti, khususnya dalam bidang keusahawanan koperasi.
Menurut beliau, inisiatif itu diyakini mampu membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda dalam kalangan keluarga anggota polis untuk membina masa depan yang lebih cemerlang menerusi gerakan koperasi negara.
Dalam pada itu, UKKM turut menggalakkan anggota dan kakitangan KPDRM serta anak-anak mereka memilih universiti berkenaan sebagai destinasi pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang keusahawanan dan pengurusan koperasi.
Sebagai tanda komitmen terhadap kerjasama strategik itu, KPDRM turut menyumbangkan RM10,000 kepada UKKM bagi menyokong aktiviti penyelidikan di universiti berkenaan.