PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap peranan Sinar Harian sebagai medium penyampaian maklumat dan pengkritik yang membina sempena ulang tahun ke-20 akhbar itu.
Beliau berkata, Sinar Harian bukan sahaja memainkan tanggungjawab menyampaikan berita kepada masyarakat, malah turut memberi kritikan yang membina demi kepentingan negara.
"Saya ambil kesempatan ini bersama kawan-kawan untuk mengucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-20 Sinar Harian.
"Tentunya saya terkesan kerana mempunyai hubungan baik dengan keluarga sejak awal, dan saya hargai sumbangan mereka dalam penyaluran maklumat, penyampaian berita serta peranan sebagai pengkritik yang membina," katanya menerusi rakaman video sempena ulang tahun ke-20 Sinar Harian pada Jumaat.
Sinar Harian menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-20 pada 31 Julai selepas mula diterbitkan pada 31 Julai 2006 dan kini terus komited menyampaikan laporan yang pantas, tepat serta berimbang kepada rakyat.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh warga Sinar Harian atas sumbangan mereka kepada dunia kewartawanan negara.
"Saya ucapkan terima kasih dan mendoakan kesejahteraan buat semua," ujarnya.