Kes dadah libat juruterbang: Malaysia Airlines sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai juruterbang warga Malaysia ditahan di Jakarta disyaki seludup 26kg dadah.

KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines enggan mengulas mengenai penahanan seorang juruterbangnya oleh pihak berkuasa Indonesia kerana disyaki terlibat dalam kes berkaitan dadah, namun menegaskan syarikat penerbangan itu memandang serius dakwaan sedemikian.

Syarikat penerbangan nasional itu dalam kenyataan kepada Bernama hari ini memaklumkan Malaysia Airlines akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berkaitan mengikut semua undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Iklan
Iklan

Menurutnya memandangkan perkara itu masih dalam siasatan pihak berkuasa Indonesia, adalah tidak wajar untuk syarikat penerbangan itu untuk mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu pada peringkat ini.

"Malaysia Airlines menegaskan sekali lagi bahawa syarikat tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku dan kini sedang menjalankan semakan dalaman berhubung perkara ini,” menurut kenyataan itu.

Iklan

Syarikat penerbangan itu turut menegaskan bahawa keselamatan, sekuriti dan integriti operasinya kekal menjadi keutamaan.

Ketua Pengarah Kastam dan Eksais Indonesia Djaka Budi Utama dilaporkan berkata juruterbang itu disiasat di Indonesia kerana disyaki cuba menyeludup dadah termasuk pil ekstasi bernilai kira-kira Rp60 bilion (RM14 juta).

Iklan

Juruterbang warga Malaysia itu ditahan kerana disyaki cuba menyeludup sejumlah besar dadah, termasuk lebih 70,000 pil ekstasi sekitar 25 kilogram ke Indonesia.

Suspek berusia 39 tahun itu dilaporkan menerbangkan pesawat Malaysia Airlines MH727 dari Kuala Lumpur ke Jakarta sebelum ditahan pada Rabu, 29 Julai, di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta. - Bernama