HULU TERENGGANU — Seorang lelaki warganegara Singapura berusia lingkungan 20an ditahan polis selepas dikesan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di Kilometer 403 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, tangkapan dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu kira-kira jam 6 petang pada Khamis.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ tersebut sedang dalam perjalanan untuk menyertai program Perhimpunan RXZ Member 8.0 yang bakal diadakan di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus.
"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu atau menunggang secara melulu atau berbahaya sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
"Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman sebagaimana yang diperuntukkan di bawah akta tersebut,"katanya.
Dalam pada itu, katanya pihak polis mengingatkan semua pengguna jalan raya khususnya peserta program permotoran RXZ Member 8.0, agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan pemanduan berhemah.
"PDRM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bertindak membahayakan keselamatan pengguna jalan raya yang lain," ujar beliau.