Air mata ayah yang tidak kesampaian

Iklan

ALOR SETAR – Hidup pasangan suami isteri ini berubah dalam sekelip mata selepas satu kemalangan jalan raya di Jalan Alor Mengkudu di sini pada 18 Jun lalu meragut kebebasan seorang lelaki untuk berdiri dan berjalan seperti insan lain.

Iklan
Iklan

Daripada seorang yang aktif mencari rezeki demi keluarga, kini hampir seluruh masa Salmy Anas Ahmad dihabiskan di atas katil dengan bergantung kepada bantuan isteri untuk menguruskan keperluan harian.

Isterinya mengakui detik menerima berita kemalangan suami dan anaknya merupakan saat paling sukar dalam hidup mereka sekeluarga.

Iklan

"Masa dapat tahu mereka kemalangan, memang kami semua terkejut. Dunia rasa macam gelap sekejap."

Menurutnya, selepas menjalani pemeriksaan dan rawatan, doktor mengesahkan suaminya mengalami kecederaan serius pada kepala dan tulang belakang sehingga memerlukan pembedahan segera.

Iklan

Namun, satu lagi ujian menanti mereka.

Kos mendapatkan skru dan plat yang diperlukan untuk pembedahan tulang belakang mencecah belasan ribu ringgit, jumlah yang langsung tidak mampu disediakan dalam masa singkat.

"Masa itu memang kami buntu. Nak cari duit sebanyak itu bukan mudah."

Lebih menyedihkan, katanya, keadaan suaminya tidak mengizinkan mereka menangguhkan rawatan terlalu lama.

"Kalau lambat, kami risau keadaan dia akan bertambah teruk," katanya.

Harapan yang tertangguh

Bagi Salmy Anas Ahmad, kemalangan yang dialaminya bukan sahaja membataskan pergerakan fizikal, malah meragut peluang untuk merealisasikan dua impian yang sudah lama dinantikan.

Beliau sepatutnya berangkat menunaikan ibadah umrah bersama isteri sebelum meneruskan perjalanan ke Jordan bagi meraikan hari konvokesyen anak mereka. Namun, segala perancangan itu terpaksa dibatalkan apabila kemalangan yang menimpanya menyebabkan beliau mengalami kecederaan serius dan memerlukan rawatan serta proses pemulihan.

"Sedih...memang sedih. Kami dah rancang semuanya. Nak ke umrah, kemudian nak hadir konvokesyen anak di Jordan. Tapi Allah SWT uji saya dengan kemalangan ini."

Walaupun berat menerima hakikat tersebut, Salmy Anas tidak pernah berputus asa. Dengan semangat yang masih ada, beliau tekun menjalani setiap sesi pemulihan dan berharap agar suatu hari nanti dapat kembali berdiri, berjalan semula dan meneruskan kehidupan seperti sediakala.

Baginya, setiap langkah kecil dalam proses pemulihan bukan sekadar usaha untuk kembali sihat, tetapi juga ikhtiar untuk mengejar semula impian yang tertangguh dan kembali mencipta kenangan bersama keluarga.

Sinar baharu

Menurut isterinya, proses yang mudah dan pantas benar-benar memberi kelegaan kepada mereka ketika berdepan saat yang paling sukar dalam hidup.

"Alhamdulillah, apabila kami dimaklumkan mengenai kemudahan ini, hati kami benar-benar lega. Sekurang-kurangnya rawatan suami dapat diteruskan tanpa perlu kami terus dihimpit kebimbangan tentang kos."

Katanya, bantuan yang diterima bukan sekadar meringankan beban kewangan yang ditanggung keluarga, malah menghidupkan kembali harapan yang hampir pudar. Dalam keadaan yang penuh ujian, mereka bersyukur kerana masih ada sinar yang membuka jalan untuk suaminya meneruskan rawatan dan proses pemulihan dengan lebih tenang serta penuh harapan.

Setiap senyuman adalah satu kemenangan

Walaupun perjalanan pemulihan masih panjang, pasangan itu tidak pernah berhenti berharap.

Setiap perkembangan kecil, walaupun sekadar mampu menggerakkan anggota badan sedikit demi sedikit, dianggap satu kemenangan besar buat mereka sekeluarga.

"Kami tahu bukan mudah. Tapi kami percaya, selagi berusaha dan berdoa, insya-ALLAH ada hasilnya."

Isterinya berkata, sepanjang menjaga suami, beliau belajar bahawa kekuatan bukan hanya datang daripada tubuh yang sihat, tetapi juga daripada hati yang tidak pernah menyerah.

"Saya sentiasa bagi semangat dekat dia. Saya nak dia tahu kami semua ada bersama dia."

Bukan sekadar pembiayaan, tetapi mengembalikan harapan

Bagi keluarga ini, bantuan yang diterima bukan sekadar memudahkan urusan rawatan, malah menjadi titik permulaan untuk mereka membina semula kehidupan yang hampir runtuh akibat musibah.

Malah Salmy Anas sendiri mengakui dengan penuh ikhlas bahawa Skim LINDUNG 24 Jam ini memberi satu sinar harapan baharu kepada dirinya dan keluarga.

Dia sendiri kini sedang merasai dan menikmati kemudahannya hasil dengan caruman yang kecil dalam PERKESO.

"Bukan semua pekerja mampu membeli perlindungan insurans, terutama mereka yang berpendapatan rendah. Sebab itu LINDUNG 24 jam di bawah PERKESO hadir sebagai satu alternatif yang amat baik untuk memastikan lebih ramai rakyat tetap mempunyai perlindungan apabila ditimpa musibah.

“Bantuan yang disediakan bersama pelbagai faedah yang luas bukan sahaja mengurangkan beban kewangan, malah memberi peluang kepada pesakit untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu terlalu memikirkan soal kos," katanya.

Kemalangan mengubah perancangan Salmy dan keluarga, namun faedah dari PERKESO dan semangat untuk pulih memberi sinar baharu dalam meneruskan kehidupan.

Hari ini, walaupun lelaki itu masih meneruskan proses pemulihan, wajahnya jauh lebih tenang berbanding saat awal kemalangan dahulu.

Dan selagi harapan itu masih hidup, pasangan ini percaya tiada ujian yang mustahil untuk ditempuhi bersama.