Calon BN tumpu keperluan sebenar rakyat

Iklan
Siti Nur Umaira ketika walkabout sekitar DUN Labu.

NEGERI Sembilan terus melakar pembangunan melalui keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pemerkasaan komuniti di setiap kawasan.

Dari kawasan luar bandar dan pertanian di Chennah kepada kawasan pesat membangun di Labu dan komuniti pesisir di Linggi, setiap kawasan mempunyai keperluan pembangunan yang tersendiri.

Iklan
Iklan

Justeru, pemimpin tempatan yang memahami denyut nadi rakyat penting bagi memastikan segala perancangan kerajaan dapat diterjemah kepada manfaat yang dirasai secara langsung oleh masyarakat.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, Siow Kong Choon meletakkan aspek keselamatan, pendidikan dan kebajikan masyarakat sebagai tiga keutamaan yang akan diberi perhatian sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Iklan

Kong Choon menyantuni penduduk dalam sesi walkabout sekitar DUN Chennah.

Beliau berkata, usaha itu merangkumi pemasangan 150 unit lampu solar di kawasan hotspot bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penduduk, selain memperkasa pendidikan, ekonomi serta infrastruktur.

Iklan

Menurutnya, inisiatif tersebut termasuk penyediaan kelas tuisyen percuma bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), menaik taraf jalan ladang dan melaksanakan baik pulih kediaman secara bersasar.

Mengulas mengenai manifesto BN, Kong Choon berkata, setiap perancangan yang dibawa dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk di DUN Chennah.

"Manifesto ini beri manfaat secara langsung kepada rakyat kerana merangkumi aspek keselamatan, pendidikan, ekonomi dan kebajikan.

"Ia termasuk latihan keusahawanan serta bantuan kepada usahawan, pembangunan jalan ladang dan usaha memperjuangkan lanjutan tempoh pajakan tanah pertanian bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk Chennah," katanya.

Siti Nur Umaira rangka lima tekad bangunkan Labu

Mempercepatkan pembangunan infrastruktur, memperluaskan peluang pekerjaan dan kemahiran, meningkatkan akses kesihatan serta memperkasa pendidikan menjadi antara lima tekad yang dibawa calon BN bagi DUN Labu, Siti Nur Umaira Hasim.

Siti Nur Umaira yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Rasah berkata, lima tekad itu dirangka berdasarkan keperluan sebenar penduduk bagi memastikan pembangunan di Labu dapat dinikmati secara menyeluruh.

Menurutnya, keutamaannya ialah mempercepatkan penambahbaikan infrastruktur dan mobiliti rakyat bagi mewujudkan kemudahan yang lebih selesa serta lancar kepada penduduk.

"Dalam masa sama, saya mahu meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan serta memperkukuh kesejahteraan komuniti agar kebajikan rakyat terus terpelihara," katanya.

Beliau berkata, usaha memperkasa pendidikan dan potensi anak-anak Labu turut menjadi antara fokus utama.

Menurutnya, aspek keusahawanan dan ekonomi komuniti juga tidak akan dipinggirkan menerusi pelbagai inisiatif yang mampu membantu penduduk menjana pendapatan dan mengukuhkan ekonomi setempat.

"Saya mahu melihat Labu terus membangun dengan rakyatnya menikmati peluang yang lebih baik dalam aspek pendidikan, pekerjaan, kesihatan dan ekonomi," katanya yang merupakan anak jati Labu.

Linggi berpotensi jadi destinasi pelancongan baharu

Sementara itu, calon BN DUN Linggi yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli mahu meneruskan usaha memperkukuh kebajikan masyarakat, pendidikan dan pembangunan ekonomi setempat.

Menurutnya, pengalaman sebagai wakil rakyat sejak 2023 memberi gambaran jelas keperluan masyarakat yang memerlukan perhatian menerusi pendekatan secara bersasar.

Mohd Faizal mahu meneruskan usaha memperkukuh kebajikan, pendidikan dan ekonomi penduduk.

“Saya akan menambah baik khidmat terutama dalam meningkatkan soal kebajikan dan keperluan masyarakat di kawasan saya,” katanya.

Beliau berkata, pendidikan turut menjadi antara fokus utama bagi memastikan anak-anak di DUN Linggi mempunyai peluang berjaya dan memiliki kemahiran yang diperlukan dalam pasaran pekerjaan.

“Anak-anak di Linggi juga mampu berjaya seperti anak-anak di kawasan lain. Dengan ilmu dan kemahiran, mereka boleh bersaing serta mendapatkan pekerjaan yang lebih baik untuk meningkatkan taraf hidup keluarga,” katanya.

Dalam masa sama, Mohd Faizal berkata, Linggi mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai salah satu destinasi pelancongan menerusi keunikan produk tempatan yang ada.

Katanya, ia termasuklah aktiviti memancing serta premis makanan yang semakin mendapat perhatian pengunjung di media sosial.

"Perkembangan ini wajar dimanfaatkan untuk merancakkan ekonomi tempatan dan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan kepada penduduk.

“Kita mahu melihat sektor pelancongan ini memberi limpahan kepada masyarakat kampung, terutama dalam membuka peluang pendapatan menerusi aktiviti pelancongan yang ada,” katanya.

Peluang pekerjaan

Sementara itu, penduduk Chennah, Norhaslinda Khamis, 50, berkata, pembangunan di kawasan pinggir bandar terus diperkasakan.

Katanya, usaha itu penting memandangkan semakin ramai anak muda mula kembali ke kampung berikutan peningkatan kos sara hidup dan memerlukan peluang pekerjaan yang sesuai.

"Kita mahu lihat pembangunan di kawasan pinggir bandar di Negeri Sembilan terutamanya melalui sektor pertanian yang mampu buka lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda," katanya.

Bagi peniaga, Nur Ain Maamor, 33, berkata, segala bentuk bantuan dan perkhidmatan kepada rakyat dapat dipermudahkan, khususnya kepada golongan warga emas dan ibu tunggal.

"Saya harap wakil rakyat sentiasa bersama masyarakat, kerap turun padang dan anjur lebih banyak aktiviti bersama penduduk. Pada masa sama, peniaga kecil juga perlu terus dibantu," katanya.