PORT DICKSON - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) bukan isu tindakan politik picisan sebaliknya amanah dan tanggungjawab memelihara kepentingan jutaan umat Islam negara ini.
Beliau berkata, laporan berkenaan perlu dilihat secara serius kerana ia antara lain mendedahkan teguran dan amaran yang pernah diberikan Bank Negara Malaysia pada 2014 dan 2017 berhubung keadaan kewangan TH, namun tidak diambil tindakan sewajarnya.