PRN Negeri Sembilan: SPR laksana Sistem OCR-VA

Iklan
SPR memberi jaminan bahawa pelaksanaan sistem OCR-VA hanya melibatkan proses penandaan kehadiran pengundi dan tidak melibatkan proses pengundian atau perekodan pilihan pengundi. Foto: Bernama

SEREMBAN - Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) akan melaksanakan projek rintis Sistem Pengecaman Aksara Optik Kehadiran Pengundi (OCR-VA) semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Sabtu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sistem itu akan dilaksanakan di Sekolah Menengah Agama Dato' Klana Petra Maamor melibatkan Saluran 1 hingga 7 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan sebagai usaha menambah baik pengurusan proses pilihan raya.

Iklan
Iklan

"Sistem OCR-VA dibangunkan khusus bagi merekod dan menandakan kehadiran pengundi di saluran mengundi melalui pengimbasan maklumat pada kad pengenalan secara automatik.

"Penggunaan teknologi ini dijangka dapat mempercepatkan proses semakan dan pendataan kehadiran pengundi, mengurangkan kesilapan penandaan kehadiran secara manual serta meningkatkan kecekapan petugas kerani pengundian (KP),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Khairul Shahril menjelaskan, inisiatif itu juga menyokong usaha pendigitalan proses pilihan raya dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual tanpa menjejaskan tatacara pengundian yang ditetapkan.

Beliau berkata, pengundi hanya perlu hadir ke pusat mengundi dan mengemukakan kad pengenalan kepada petugas untuk tujuan semakan sebelum meneruskan proses pengundian mengikut prosedur yang ditetapkan.

Iklan

"SPR memberi jaminan bahawa pelaksanaan sistem OCR-VA hanya melibatkan proses penandaan kehadiran pengundi dan tidak melibatkan proses pengundian atau perekodan pilihan pengundi.

"Justeru, kerahsiaan undi adalah terpelihara sepenuhnya dan ia turut dibangunkan dengan mengambil kira aspek keselamatan maklumat dan perlindungan data peribadi pengundi,” katanya.

Khairul Shahril berkata, hasil pelaksanaan rintis ini akan dinilai secara menyeluruh bagi mengenal pasti keberkesanan, kecekapan operasi serta potensi pelaksanaannya secara lebih meluas pada pilihan raya akan datang.

"SPR memohon kerjasama semua pengundi untuk memberikan kerjasama kepada petugas sepanjang pelaksanaan projek rintis ini demi memastikan urusan pengundian berjalan lancar, teratur dan efisien," katanya. - Bernama