KELAB bola sepak selebriti Hong Kong, FC3 Club bakal kembali ke Malaysia bagi menghangatkan perlawanan amal The Bridge of Legends Hong Kong Celebrities Football Friendly Match menentang Selangor FC Legends di Stadium MBPJ pada 10 Oktober ini.
Perlawanan anjuran Orange Leisure Sdn Bhd dengan kerjasama Pew Pew Resource itu bukan sekadar menemukan barisan artis Hong Kong dengan legenda bola sepak Selangor, malah sebahagian hasil kutipan akan disalurkan kepada Make-A-Wish Malaysia bagi membantu kanak-kanak yang menghidap penyakit kritikal.
Majlis pelancaran program tersebut disaksikan Puteri Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama wakil Selangor FC Legends, Make-A-Wish Malaysia serta pihak penganjur.
FC3 Club bukan asing dengan Malaysia apabila kelab itu ditubuhkan ketika penggambaran drama Hong Kong Fearless pada 2024 sebelum berkembang menjadi sebuah pasukan yang menghimpunkan lebih 20 pelakon, penyanyi dan penggiat industri hiburan.
Carlos Chan, Locker Lam, Adrian Chau, Tony Wu dan bekas pemain antarabangsa Hong Kong, Kumar So mengakui Malaysia mempunyai tempat istimewa dalam sejarah penubuhan FC3 Club.
"Segalanya bermula di Malaysia. Kembali ke sini untuk beraksi semula memberikan makna yang cukup istimewa kepada kami," kata mereka pada sidang media di Petaling Jaya.
Berteraskan falsafah Standing Strong at Thirty, FC3 Club menampilkan beberapa nama terkenal seperti Kaho Hung, Jer Lau (Jer@MIRROR), Carlos Chan, Tony Wu, Adrian Chau, Edward Ma, Elvin Wong, Jonathan Li, Terry Ng dan Kumar So dengan Locker Lam selaku kapten pasukan.
Menurut Locker Lam, komitmen penggambaran menjadi cabaran utama untuk menghimpunkan kesemua pemain menjalani latihan.
"Walaupun sukar mengumpulkan semua orang untuk berlatih, melihat persahabatan yang terjalin dan perkembangan kelab ini menjadikan segala usaha amat berbaloi," katanya.
Kumar So pula mendedahkan minat mendalam Carlos Chan terhadap bola sepak menjadi antara pencetus kepada penubuhan FC3 Club.
Carlos Chan berharap penampilan mereka di Malaysia mampu menghadiahkan aksi berkualiti kepada penyokong.
"Kami berharap dapat mempersembahkan satu perlawanan yang menarik dan kompetitif kepada semua peminat," katanya sambil berseloroh tidak sabar menikmati durian Malaysia.
Tony Wu menyifatkan Malaysia sebagai lokasi yang cukup sentimental buat seluruh pasukan, manakala Adrian Chau berharap dapat menikmati pengalaman beraksi di negara ini di samping bertemu lebih ramai penyokong tempatan.
Jualan tiket dibuka mulai 30 Julai, pukul 12 tengah hari dengan harga RM368 (Kategori 1), RM168 (Kategori 2), RM98 (Kategori 3) dan RM68 (Kategori 4), tidak termasuk caj tempahan. Tiket boleh didapati menerusi platform Fantopia.io, Maoyan dan uutix.