SHAH ALAM - Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) merayu agar kerajaan Malaysia tidak menghantar pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar kerana mendakwa nyawa mereka terancam sekiranya kembali ke negara berkenaan.
Presidennya, Zafar Ahmad Abdul Ghani berkata, status Rohingya sebagai golongan tidak bernegara menyebabkan keselamatan mereka menjadi persoalan sekiranya dihantar pulang ke Myanmar ketika konflik dan kekejaman masih berlaku di negara itu.
Menurutnya, tindakan itu juga bercanggah dengan prinsip utama undang-undang antarabangsa iaitu ‘non-refoulement’ yang melarang pemulangan individu ke tempat yang boleh mengancam nyawa atau keselamatan mereka.
“Merhrom merayu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar menghentikan pengusiran 5,000 orang Rohingya ke Myanmar memandangkan nyawa mereka akan terancam. Rohingya tidak mempunyai kewarganegaraan.
"Bagaimana ASEAN dan komuniti antarabangsa boleh menjamin keselamatan kami di Myanmar? Tindakan ini jelas melanggar prinsip undang-undang antarabangsa yang melarang pemulangan seseorang ke tempat di mana nyawa mereka terancam,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang berada di Malaysia, hasil rundingan diplomatik dan hubungan yang baik antara kedua-dua negara.
Kata Anwar, perkembangan itu adalah satu langkah awal dalam menangani isu berkenaan di samping bagi memastikan isu ketenteraman awam di Malaysia terus dapat dipelihara.
Mengulas lanjut, Zafar Ahmad menjelaskan, genosid dan kekejaman berterusan di Myanmar menyebabkan rakyat daripada pelbagai etnik melarikan diri setiap hari bagi mendapatkan perlindungan.
Pihaknya juga tidak yakin kerajaan Myanmar mampu melindungi keselamatan Rohingya ketika pembunuhan dan konflik masih berlaku.
“Rohingya yang dihantar pulang berisiko dipaksa menyertai tentera Myanmar tanpa latihan serta dijadikan perisai manusia dalam konflik tentera negara itu dengan kumpulan etnik lain,” dakwanya.
Justeru, Zafar Ahmad memaklumkan, Merhrom berharap supaya kerajaan Malaysia terlebih dahulu mendapatkan pandangan daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta wakil Rohingya sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan penghantaran pulang.
Menurutnya, tiada kepulangan secara selamat boleh dilakukan selagi genosid terhadap Rohingya masih berlaku di Myanmar.
“Kes genosid Rohingya masih berjalan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), selain ratusan ribu rakyat Myanmar daripada pelbagai etnik melarikan diri ke negara lain akibat penganiayaan tentera Myanmar.
“Serangan terhadap Rohingya sejak Mei 2024 oleh tentera Myanmar dan Tentera Arakan juga menyebabkan pembunuhan besar-besaran terutama di kawasan Buthidaung dan Maungdaw di negeri Rakhine.
“Serangan menggunakan dron dan bedilan artileri turut menyasarkan orang awam Rohingya termasuk kanak-kanak, wanita serta warga emas sehingga menyebabkan ribuan terbunuh dan ramai lagi cedera,” dakwanya.
Justeru, katanya, Merhrom turut menggesa agar kerajaan Malaysia, ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah (EU) serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) meningkatkan usaha bagi menamatkan konflik, peperangan dan genosid di Myanmar termasuk mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Zafar Ahmad menambah, pihaknya turut berharap supaya kerajaan Malaysia bekerjasama dengan UNHCR dan negara penempatan semula bagi meningkatkan peluang penempatan ke negara ketiga untuk mangsa genosid Rohingya.
“Pelarian dan pencari suaka Rohingya yang berada dalam tahanan perlu diberi perhatian kerana penahanan tanpa tempoh tertentu boleh menjejaskan kesihatan mental mereka.
“Sebagai mangsa yang terselamat daripada genosid, Rohingya mengalami trauma dan masalah psikologi yang kebanyakannya tidak mendapat rawatan,” ujarnya.