PUTRAJAYA – Seorang wanita mendakwa terus dibelenggu tuntutan hutang RM162,000 walaupun telah membayar kira-kira RM140,000 bagi pinjaman asal RM100,000 daripada sebuah syarikat kredit komuniti berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Wanita dikenali sebagai Fina, 36, berkata, beliau bukan enggan melunaskan hutang, sebaliknya hanya mahu penyelesaian yang adil selepas mendakwa berdepan tuntutan yang disifatkan tidak munasabah sehingga menjejaskan kehidupan keluarganya dan berlarutan ke peringkat mahkamah.
Menurutnya, beliau membuat pinjaman berkenaan pada 2015 bagi membantu perniagaan keluarganya, namun mendakwa hanya menerima RM92,000 selepas pelbagai potongan dibuat.
Lebih mengejutkan, beliau mendakwa perjanjian pinjaman yang ditandatangani menunjukkan jumlah RM200,000 walaupun pinjaman yang dipohonnya hanyalah RM100,000.
“Saya tanya kenapa dalam perjanjian tertera RM200,000. Mereka kata itu hanya untuk rujukan syarikat.
“Saya sudah bayar kira-kira RM140,000. Apabila saya tidak mampu membayar ansuran selama dua bulan kerana ibu menjalani pembedahan, saya pula dituntut membayar RM162,000 lagi,” katanya pada sidang media selepas hadir ke KPKT bagi menyerahkan memorandum di sini pada Khamis.
Menurutnya, beliau sebelum itu telah memaklumkan kepada syarikat terbabit mengenai permohonan penangguhan bayaran, namun mendakwa tidak menerima sebarang maklum balas sebelum dikenakan tindakan mahkamah dalam prosiding kes sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Fina turut mendakwa pernah berdepan pelbagai bentuk gangguan termasuk rumahnya dibaling cat merah dan didatangi individu tidak dikenali apabila gagal membuat bayaran.
Lebih membebankan, rumah miliknya di Rawang, Selangor yang bernilai lebih RM500,000 didakwa dikenakan kaveat oleh syarikat berkenaan sehingga menghalangnya menjual aset itu bagi melangsaikan hutang.
“Saya memang mahu menjual rumah untuk menyelesaikan hutang, tetapi tidak boleh kerana ada kaveat. Saya minta mereka melepaskannya pun tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata, tekanan berpanjangan itu turut memberi kesan kepada keluarganya sehingga terpaksa berulang-alik dari Perak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding mahkamah, termasuk ketika hamil anak ketiga.
Malah, beliau mendakwa telah membelanjakan kira-kira RM30,000 untuk mendapatkan khidmat guaman sepanjang mengendalikan kes tersebut.
“Bukan tidak mahu bayar, saya cuma mahu penyelesaian yang adil. Janganlah minta jumlah yang tidak munasabah,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Pertubuhan Kebajikan Integriti Persahabatan Nasional (PKIPN), Joseph Prakash mendakwa pihaknya menerima beberapa aduan lain membabitkan syarikat pemberi pinjam wang berlesen yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor yang disyaki menyalahgunakan lesen serta tidak mematuhi syarat yang ditetapkan.
Menurutnya, terdapat peminjam yang didakwa dikenakan kadar faedah terlalu tinggi selain berdepan ugutan dan tindakan yang menyerupai amalan along walaupun syarikat terbabit memiliki lesen yang sah.
Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa aduan serta dokumen lengkap kepada KPKT dan berharap siasatan dapat disegerakan.
“Puan Fina telah membuat aduan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KPKT pada April lalu, namun tiada sebarang penyelesaian.
“Kami mahu tindakan tegas diambil terhadap syarikat ini dan syarikat lain jika didapati melanggar syarat lesen supaya lebih ramai peminjam tidak terus menjadi mangsa,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menuntut KPKT memberikan maklum balas sebelum tarikh pendengaran kes Fina di mahkamah pada 17 Ogos depan, selain menyatakan pihaknya sedia memberikan kerjasama.