IOI Properties Group Berhad (IOIPG) dan Marriott International secara rasmi memeterai perjanjian operasi serta pengurusan hotel bagi memperkenalkan The Westin Puchong di IOI Rio City, pembangunan induk seluas baki 100 ekar di Bandar Puteri Puchong.
Sebagai fasa pembangunan terakhir bagi Bandar Puteri Puchong yang kini berusia 27 tahun, IOI Rio City direka untuk mengubah kawasan tersebut daripada hab pembangunan usahawan tempatan kepada sebuah pusat perniagaan bertaraf antarabangsa.
Pembangunan induk tersebut dirancang dalam tempoh 12 tahun dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM12 bilion.
Ketua Pegawai Operasi - Pelaburan Hartanah IOI Properties Group, Chris Chong berkata, The Westin Puchong bakal menjadi hotel lima bintang berjenama antarabangsa pertama di Puchong dan dijangka mula menerima tetamu menjelang penghujung Jun 2030.
Menurutnya, hotel tersebut menawarkan 324 bilik, lebih 20,000 kaki persegi ruang mesyuarat serta pelbagai kemudahan gaya hidup premium yang direka khusus untuk memenuhi keperluan pengembara perniagaan dan pelancong.
"Kehadiran jenama Westin di Bandar Puteri Puchong dijangka mengangkat kawasan Puchong sebagai destinasi pilihan utama bagi pelancong korporat dan pelancong riadah berpendapatan tinggi dari Kuala Lumpur.
"Ketika ini, portfolio hospitaliti dan riadah kami merangkumi sembilan hotel dengan keseluruhan 3,075 bilik. Penambahan The Westin Puchong yang mempunyai 324 bilik serta W Singapore – Marina View dengan 360 bilik, bersama beberapa projek lain yang sedang dalam perancangan, akan meningkatkan kapasiti bilik hotel kami sebanyak 907 bilik menjelang tahun 2030.
"Menjelang tempoh tersebut, IOI Properties Group dijangka memiliki keseluruhan 3,982 bilik hotel di Malaysia, Singapura dan Republik Rakyat China," katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut, di sini, pada Khamis.
Chong berkata, pengembangan berterusan bagi hospitaliti tersebut mengukuhkan lagi strategi kumpulan untuk meningkatkan portfolio aset yang menjana pendapatan berulang.
Jelas beliau, ia sejajar dengan sumbangan gabungan daripada segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah yang meningkat dengan ketara daripada 15.2 peratus pada tahun kewangan 2021 kepada 52.8 peratus berdasarkan laporan bagi sembilan bulan tahun kewangan 2026.
"Segmen hospitaliti dan riadah sahaja merekodkan hasil sebanyak RM622 juta, meningkat 80.8 peratus berbanding RM344 juta dalam tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2025.
"Segmen ini kini menyumbang 20.4 peratus kepada keseluruhan hasil Kumpulan," katanya.
Dalam pada itu, selain hotel, pelan induk IOI Rio City turut merangkumi beberapa komponen komersial dan runcit utama, antaranya IOI Mall Rio, sebuah pusat beli-belah setinggi lima setengah tingkat yang menawarkan lebih 1 juta kaki persegi ruang boleh disewa bersih, sekali gus menjadi antara pemacu ekonomi utama pembangunan seluas 100 ekar berkenaan.
Selain itu, ia turut mempunyai sebuah Menara Pejabat Gred A setinggi 30 tingkat yang mempunyai akses terus dan mudah ke IOI Mall Rio, selain beberapa pembangunan lain yang sedang dirancang.
Kawasan pembangunan tersebut turut menikmati sambungan pengangkutan awam yang baik menerusi dua stesen Transit Aliran Ringan (LRT), iaitu Stesen LRT Perindustrian Puchong dan Stesen LRT Bandar Puteri.
Bagi menampung pertumbuhan pesat Bandar Puteri Puchong, IOI Properties Group juga melabur lebih RM90 juta bagi melaksanakan dua projek naik taraf infrastruktur utama yang bertujuan melancarkan aliran trafik di kawasan tersebut.
Chris Chong berkata, sebagai antara pemaju perintis di Puchong sejak lebih 30 tahun lalu, IOI Properties Group sentiasa komited untuk menjaga kepentingan semua pihak berkepentingan serta masyarakat setempat.
Justeru katanya, pembangunan The Westin Puchong bukan sahaja perlu berdaya maju dari segi kewangan, malah perlu meminimumkan kesan terhadap alam sekitar dan memenuhi piawaian Pensijilan Green Building Index (GBI) Gold.
"Pendekatan ini akan memastikan operasi hotel lebih cekap tenaga serta mempunyai pelepasan karbon yang rendah untuk tempoh jangka panjang," katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pembangunan Hotel Asia Pasifik, Marriott International, Andree Susilo berkata, pemeteraian perjanjian bagi The Westin Puchong mengukuhkan lagi hubungan jangka panjang antara Marriott International dan IOI Properties serta mencerminkan keyakinan berterusan syarikat terhadap industri hospitaliti Malaysia.
"Berlandaskan kejayaan kerjasama membabitkan sembilan hotel yang telah beroperasi dan satu lagi dalam perancangan, kami berbangga memperkenalkan The Westin Puchong yang membawa falsafah kesejahteraan bertaraf dunia ke salah satu koridor komersial yang paling pesat berkembang di negara ini.
"Bersama IOI Properties, kami berharap dapat membangunkan sebuah destinasi yang menyokong fasa pertumbuhan seterusnya bandar ini, sambil menawarkan pengalaman bermakna kepada pengembara perniagaan dan pelancong," katanya.