PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan tiga program pembiayaan khusus bagi membantu usahawan Bumiputera mendapatkan modal dengan lebih pantas, mengukuhkan aliran tunai dan meningkatkan kapasiti perniagaan.
Menerusi PROSPER GROW Biz Express, PROSPER GROW Fuel Up dan PROSPER GROW Auto Biz, usahawan yang memenuhi syarat boleh menikmati kadar pembiayaan kompetitif bermula serendah 3.5 peratus setahun secara kadar rata bagi produk terpilih.
Program pembiayaan ini diperkenalkan bagi memenuhi keperluan perusahaan kecil dan sederhana yang memerlukan akses pembiayaan lebih pantas dan fleksibel untuk menangani peningkatan kos operasi, mendapatkan stok, menambah aset serta merebut peluang pertumbuhan dalam pasaran yang semakin kompetitif.
Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, akses kepada modal pada masa yang tepat boleh menentukan sama ada sesebuah perniagaan mampu memanfaatkan peluang pertumbuhan atau terpaksa menangguhkannya.
“Keperluan usahawan hari ini bukan hanya jumlah pembiayaan yang bersesuaian, tetapi juga proses yang cekap dan struktur bayaran yang mengambil kira realiti operasi perniagaan.
“Pendekatan ini membolehkan usahawan bertindak dengan lebih pantas tanpa mengabaikan disiplin kewangan dan kelangsungan jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, PROSPER GROW Biz Express menawarkan laluan pembiayaan dipercepatkan bernilai antara RM100,000 hingga RM300,000 kepada usahawan Bumiputera permilikan tunggal, perkongsian atau perkongsian liabiliti terhad dalam sektor peruncitan, perdagangan pengedaran dan pembuatan.
Tempoh penyaluran dana seawal 12 hari bekerja adalah tertakluk kepada penyerahan dokumen yang lengkap dan penilaian risiko kredit.
Berikutnya, PROSPER GROW Fuel Up pula menyasarkan pengusaha stesen minyak Bumiputera.
Program itu menawarkan pembiayaan modal pusingan sehingga 100 peratus untuk tujuan pembelian stok bagi membantu pengusaha memastikan bekalan mencukupi, mengekalkan kelancaran operasi dan mengurus aliran tunai dengan lebih berkesan.
Nilai minimum dan maksimum pembiayaan serta tempoh pembiayaan bagi PROSPER GROW Fuel Up adalah bermula dari RM100,000 ke RM1,000,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga 7 tahun.
Sementara itu, PROSPER GROW Auto Biz dikhususkan kepada pusat servis automotif di bawah rakan strategik seperti PETRONAS AutoExpert.
Skop pembiayaan yang ditawarkan merangkumi pembiayaan untuk aset tetap dan modal pusingan bagi membantu pengusaha menambah peralatan, meningkatkan kapasiti perkhidmatan serta memenuhi permintaan pelanggan.
Julat pembiayaan, bermula RM100,000 ke RM1,000,000 dengan tempoh pembiayaan sehingga tujuh (7) tahun dan peranan khusus setiap rakan strategik adalah menawarkan latihan, sokongan pemasaran, program dagangan serta rundingan pembangunan perniagaan.
Selain kadar pembiayaan bermula serendah 3.5 peratus setahun secara kadar rata bagi produk terpilih, PUNB turut menyediakan tempoh penangguhan bayaran prinsipal atau grace period sehingga enam bulan tertakluk kepada penilaian PUNB.
Kemudahan itu memberi ruang kepada usahawan untuk menstabilkan operasi sebelum bayaran prinsipal berkala bermula.
Sasaran bilangan penerima dan jumlah keseluruhan dana yang diperuntukkan bagi ketiga-tiga program berkenaan adalah seramai 220 usahawan dengan jumlah keseluruhan dana sebanyak RM80 juta.
Izwan berkata, program berkenaan turut mencerminkan peranan PUNB sebagai rakan pembangunan usahawan, bukan sekadar penyedia pembiayaan.
“Matlamat kami adalah untuk membina perniagaan Bumiputera yang lebih berdaya tahan, mampu berkembang secara tersusun dan bersedia bersaing dalam rantaian nilai yang lebih luas dalam ekonomi dunia yang tidak menentu.
“Pembiayaan perlu disertai dengan pemahaman terhadap model perniagaan, keperluan sektor dan kapasiti sebenar usahawan supaya pertumbuhan yang dicapai dapat dikekalkan,” katanya.
Pada masa sama, usaha tersebut menyokong agenda pembangunan ekonomi Bumiputera serta aspirasi pertumbuhan inklusif Ekonomi MADANI, khususnya dalam memperluas penyertaan usahawan tempatan dalam aktiviti ekonomi, meningkatkan produktiviti dan membangunkan perniagaan yang lebih mampan serta berdaya saing.
PUNB menjangkakan penawaran yang lebih kompetitif itu dapat membantu lebih ramai usahawan Bumiputera memperkukuh kedudukan kewangan, meningkatkan kapasiti operasi dan merebut peluang pertumbuhan baharu.