ANGKASA sasar 1,000 koperasi masjid ditubuhkan tahun ini

Iklan
Abdul Fattah (tengah) menerima cenderahati selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-39 Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad di sebuah hotel di sini pada Khamis.

IPOH – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menyasarkan sebanyak 1,000 koperasi kariah masjid ditubuhkan di seluruh negara menjelang penghujung tahun ini bagi memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti Islam serta memperluaskan akses perkhidmatan kepada penduduk luar bandar.

Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, ketika ini terdapat kira-kira 700 koperasi masjid yang telah ditubuhkan dan pihaknya sedang giat menggerakkan kempen bagi menambah 300 lagi koperasi untuk mencapai sasaran berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, penubuhan lebih banyak koperasi masjid penting bagi membolehkan kedai runcit milik koperasi menjadi pusat penebusan bantuan kerajaan seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Bantuan Tunai Rahmah (BTR) sekali gus mengurangkan beban kos perjalanan penduduk luar bandar ke bandar.

"Kalau penerima bantuan terpaksa pergi ke bandar untuk menebus bantuan, mereka perlu mengeluarkan kos pengangkutan seperti minyak motosikal atau kereta. Jadi nilai bantuan yang diterima sebenarnya berkurangan.

Iklan

"Sebab itu kita menggalakkan kerajaan menggunakan kedai-kedai runcit luar bandar termasuk kedai milik koperasi kariah masjid sebagai pusat penebusan bantuan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan Kali Ke-39 Koperasi Gabungan Pekebun Kecil Perak Berhad di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Iklan

Abdul Fattah berkata, koperasi masjid perlu digerakkan sebagai koperasi komuniti dengan penglibatan lebih ramai usahawan, golongan profesional, wanita dan belia dalam pengurusannya.

Menurutnya, hanya satu pertiga daripada lembaga koperasi dicadangkan dianggotai jawatankuasa masjid, manakala baki dua pertiga perlu terdiri daripada ahli kariah yang aktif serta mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan dan profesional.

"Masjid harus menjadi pangkalan pembangunan ekonomi kariah. Apabila pembangunan ekonomi digerakkan melalui masjid, masyarakat akan lebih yakin dan memberi sokongan terhadap aktiviti yang dijalankan.

"Apabila masjid mempunyai kedai runcit yang diuruskan koperasi, masyarakat bukan sahaja datang mendapatkan keperluan harian malah dapat mengimarahkan masjid kerana mereka turut singgah untuk menunaikan solat," katanya.

Beliau berkata, Perak merupakan antara negeri yang menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperluaskan penubuhan koperasi masjid hasil kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, inisiatif yang diperkenalkan sejak 2010 itu memerlukan komitmen berterusan daripada jawatankuasa masjid dan komuniti setempat bagi memastikan koperasi dapat berfungsi secara mampan.

Mengulas kejayaan model tersebut, Abdul Fattah berkata, beberapa negeri termasuk Kedah telah melantik koperasi masjid menguruskan kedai runcit yang menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf menggunakan peruntukan Baitulmal.