TAWAU - Kebimbangan seorang bapa selepas anak perempuannya yang dilaporkan tidak pulang ke rumah membawa kepada penahanan seorang lelaki warga asing yang disyaki merogol remaja bawah umur itu dalam satu operasi di daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintenden Wilynton Enchana Watt berkata, suspek lelaki warga asing berusia lingkungan 18 tahun itu ditahan dalam operasi yang dijalankan di kawasan tempat letak kereta sebuah masjid di Batu 2, Jalan Apas.
Menurutnya, siasatan bermula selepas bapa mangsa membuat laporan polis memaklumkan bahawa anak perempuannya yang berusia 15 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumah telah ditemui di kawasan bandar di daerah ini.
"Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengaku telah tinggal bersama suspek di sebuah bilik sewa dan berlaku hubungan intim antara mereka.
Beliau berkata, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tawau kemudian berjaya menahan suspek dalam operasi berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut mendapati suspek merupakan warga asing yang menetap di negara ini tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.
"Semakan rekod juga mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.
Wilynton berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana disyaki melakukan kesalahan rogol serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa dokumen perjalanan yang sah.