BEAUFORT - Seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan selepas disyaki merogol anak kandung dan mencabul anak tirinya dalam kejadian di daerah ini.
Lelaki berusia 30-an itu ditahan susulan laporan polis yang dibuat kedua-dua mangsa baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintenden Champin Piuh berkata, bertindak atas maklumat, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort telah menahan suspek yang juga warga asing bagi membantu siasatan berhubung dua kes berasingan melibatkan kesalahan cabul dan sumbang mahram.
"Siasatan bermula selepas pihak polis menerima laporan daripada mangsa pertama, iaitu anak tiri suspek yang juga seorang penuntut di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
"Mangsa tampil membuat laporan polis selepas dicabul kerana berasa terancam dan bimbang akan keselamatan dirinya sekiranya pulang ke kampung halaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Katanya lagi, hasil siasatan awal yang dijalankan membawa kepada pembongkaran satu lagi jenayah yang lebih berat.
"Suspek didapati turut disyaki merogol anak kandungnya sendiri secara berterusan sejak mangsa berusia tujuh tahun.
Champin berkata, pihaknya kini telah membuka dua kertas siasatan berasingan di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
"Suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.