Tular peniaga kena maki jual vape kepada pelajar bawah umur

Iklan
Tangkap layar video seorang lelaki memaki peniaga kerana didakwa menjual vape kepada golongan bawah umur. Foto Kredit Facebook Ali Burger Jinjang

KUALA LUMPUR - Tular satu rakaman video pendek di Facebook pada Isnin lalu memaparkan seorang lelaki berang terhadap peniaga kerana didakwa menjual rokok elektronik atau vape kepada golongan bawah umur.

Menerusi hantaran video berdurasi satu minit 35 saat di akaun Facebook Ali Burger Jinjang, lelaki tersebut yang dipercayai bapa kepada pelajar bawah umur itu sedang menyoal peniaga berkenaan sambil memaki hamun.

Iklan
Iklan

Individu itu juga sempat mempersoalkan sama ada peniaga terbabit memiliki lesen perniagaan atau tidak.

"Kamu punya lesen mana saya mahu tengok, betul-betul ke berniaga mesti ada ikut undang-undang kan?

Iklan

"Budak-budak kena tunjuk kad pengenalan (bila beli barang) kan?" ujarnya.

Lelaki tersebut mendakwa, guru besar sekolah turut memintanya untuk mencari individu yang menjual vape kepada beberapa pelajar lain.

Iklan

“Lagi lima enam budak sekolah sana, guru besar minta saya cari sini. Ini barang mana dapat?" soalnya.

Peniaga tersebut bagaimanapun mempertahankan dirinya dengan mengatakan tidak pernah menjual vape pada golongan bawah umur.

Dia bahkan menghalau pelanggan yang dipercayai bawah umur daripada membeli vape di premisnya.

Peniaga tersebut menambah, ahli keluarga pelanggannya pernah mempersoalkan sebab barang itu sudah tidak dijual kepada mereka.

“Saya ada tulis (notis larangan pembelian bagi golongan bawah umur). Saya pernah halau dia," jelas peniaga itu.

Berdasarkan kapsyen yang tertera pada hantaran berkenaan, difahamkan premis vape itu beroperasi di Taman Fadason, Kepong, di sini.

Namun, perincian mengenai tarikh kejadian bahkan nama dan alamat lengkap premis berkenaan belum dapat dipastikan.

Setakat ini, video tular berkenaan memperoleh 1.5 juta tontonan, lebih 19,100 tanda suka, 3,500 komen dan 1,500 perkongsian ke platform media sosial lain.

Menerusi hantaran berbeza, pemilik akaun Facebook Ali Burger Jinjang yang aktif memperjuangkan perihal anak-anak sekolah berpendapat bahawa isu tersebut perlu diberi perhatian penuh oleh banyak pihak, bukan menyalahkan ibu bapa sahaja.

Ujarnya, isu pelajar sekolah terlibat perkara tidak bermoral perlu diambil tindakan sewajarnya dalam usaha membentuk anak bangsa ke arah lebih baik.

"Saya ada muat naik satu video seorang ayah pergi jumpa peniaga vape ini. Ada yang komen baik, ada yang bercakap tak baik.

"Bagi sayalah kan sebagai langkah pencegahan (isu) dadah, ramai yang kena bekerjasama dan jangan tuding jari pada ibu bapa sahaja.

"Kalau tidak, kita takkan dapat selamatkan anak-anak bangsa. Jangan cakap kamu rakyat Malaysia kalau kamu tak memperjuangkan isu rakyat. Mencegah lebih baik daripada mengubati," katanya lagi.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penjualan dan penggunaan rokok serta vape kepada Orang Belum Dewasa (OBD) adalah dilarang sama sekali di bawah Akta Kawalan Produk Merokok demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Undang-undang tersebut menetapkan individu berusia bawah 18 tahun tidak dibenarkan membeli atau merokok produk tembakau dan pengganti tembakau, termasuk vape.