KOTA BHARU – Polis Kelantan mempergiat operasi membanteras pengedaran vape yang disyaki mengandungi dadah menerusi Ops Vape yang dilaksanakan secara bersepadu di seluruh negeri pada Isnin dan Selasa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, operasi yang digerakkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kelantan itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menurut beliau, operasi berkenaan memberi tumpuan kepada usaha mengesan dan memeriksa premis menjual vape selain menahan individu yang terlibat dalam aktiviti pengedaran serta penjualan vape mengandungi dadah.
“Sebanyak 22 premis menjual vape diserbu sepanjang operasi dijalankan.
“Dalam operasi itu, seorang wanita Melayu ditahan dipercayai positif dadah,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, polis turut merampas sebanyak 1,447 unit peranti vape dan 267.4 liter cecair vape yang tidak mengandungi dadah dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM96,475.
Katanya, selain tindakan polis, KKM dan PBT turut mengeluarkan saman serta kompaun terhadap premis yang didapati melakukan pelanggaran di bawah bidang kuasa masing-masing.
Mohd Yusoff berkata, JSJN Kelantan akan terus mempergiat risikan, pemantauan serta operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa berkaitan bagi membanteras aktiviti pengedaran vape mengandungi bahan terlarang.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang.
“Ibu bapa dan masyarakat juga diseru memainkan peranan penting dalam memantau tingkah laku anak-anak serta tidak memandang ringan ancaman penyalahgunaan vape yang semakin menular ketika ini,” katanya.