'Mereka ada duit, tetapi kita ada ALLAH' - Bodyguard dipukul kerana berpuasa masih trauma

Iklan
Ahmad Shamsuri menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan bersalah serta menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas majikannya atas kesalahan mencederakan dan menghinanya kerana berpuasa.

SHAH ALAM – Lima tahun memendam trauma selepas agamanya dipersenda hanya kerana berpuasa, seorang bekas pengawal peribadi akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan sabitan bersalah serta menjatuhkan hukuman penjara terhadap bekas majikannya.

Ahmad Shamsuri Zailani, 32, berkata, keputusan itu membuktikan kebenaran akhirnya terbela walaupun terpaksa melalui pengalaman pahit yang meninggalkan kesan mendalam sehingga ke hari ini.

Iklan
Iklan

"Mereka ada duit, tetapi kita ada ALLAH."

"Saya bekerja dengan mereka selama tiga tahun, trauma masih ada dalam ingatan, tetapi saya kuatkan semangat demi meneruskan kehidupan.

Iklan

Gambar tular kejadian melibatkan dua pengawal peribadi yang dicederakan dan dihina kerana berpuasa pada 2021.

ARTIKEL BERKAITAN: Pukul bodyguard berpuasa: Majikan kekal bersalah, dijel 5 tahun

Iklan

Itu luahan penuh emosi Ahmad Shamsuri sebaik keputusan mahkamah memihak kepadanya dan seorang lagi bekas rakan sekerja, Mohd Azminizam Zulkepli, 49.

Dia yang masih bekerja sebagai pengawal peribadi berkata, walaupun insiden itu telah berlalu, kerjaya tersebut tidak akan ditinggalkannya kerana ia merupakan sumber rezekinya.

Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, mengekalkan sabitan bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap seorang ahli perniagaan yang menghina, mencederakan dan mengugut pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 2021.

Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim memutuskan demikian selepas menolak rayuan Chung Chee Yang, 48, selaku perayu untuk mengetepi sabitan bersalah bagi tiga pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun, Shamsulbahri membenarkan rayuan perayu agar hukuman penjara enam tahun 10 bulan yang diputuskan Mahkamah Majistret Klang pada tahun lalu dijalankan secara serentak, sekali gus menjadikan tempoh pemenjaraan itu lima tahun.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa mendatangkan ketakutan jenayah dengan mengugut hendak menyebabkan kecederaan parah dengan mengacukan pistol ke arah Mohd Azminizam Zulkepli, 49.

Gambar fail Mohd Azminizam (dua dari kanan) dan Ahmad Shamsuridan (kiri) yang dihina, dicederakan dan diugut kerana berpuasa pada 2021 oleh majikannya.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan yang mengaitkan ALLAH dan puasa dengan niat untuk melukakan perasaan penganut agama Islam, yang didengar oleh Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri Zailani, 32.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di luar sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi, Klang, antara jam 9.30 hingga 10.30 malam, pada 13 April 2021.