120 kes kemalangan maut sejak 2023 kerana pemandu mabuk, dadah

Iklan
Muhammad Hasbullah menunjukkan paparan pelaksanaan Op Mabuk di seluruh negara. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

KUALA LUMPUR - Sebanyak 120 kes kemalangan maut yang direkodkan sejak tahun 2023 hingga Jun lalu berpunca daripada pemandu mabuk dan penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, berdasarkan rekod pihaknya, 94 kes adalah membabitkan penyalahgunaan dadah manakala baki 26 kes lagi adalah olah pemandu mabuk.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 1,634 Op Mabuk telah dilaksanakan sepanjang enam bulan pertama tahun ini dengan 949 tangkapan berbanding 692 operasi yang dilakukan dalam tempoh sama tahun lalu membabitkan 930 tangkapan sekali gus mencatatkan peningkatan sebanyak 942 operasi.

"Lima kontinjen yang mencatatkan tangkapan tertinggi dalam Op Mabuk tahun ini ialah Kuala Lumpur dengan 268 individu, Johor (223 individu), Selangor (182 individu), Sabah (95 individu) dan Sarawak (62 individu).

Iklan

Beliau berkata, pihak JSPT akan mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT) dan juga Peguam Negara, untuk menyemak dan meneliti semula hukuman sedia ada kepada yang lebih berat.

Jelasnya, JSPT tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah kerana perbuatan tersebut bukan sahaja melanggar undang-undang malah berpotensi mengakibatkan kemalangan maut serta kehilangan harta benda pada pengguna jalan raya yang tidak bersalah.

Iklan

"Tiap-tiap minggu saya keluarkan arahan kepada semua pegawai dan anggota JSPT untuk sentiasa laksanakan Op Mabuk, tiada kontinjen yang terkecuali.

"Berdasarkan statistik, kami dapati kemalangan akibat pemandu mabuk banyak terjadi, jadi kami tingkatkan lagi operasi penguatkuasaan termasuk sekatan jalan raya (SJR) dan akhirnya kami dapati ramai pengguna jalan raya yang masih tidak sedar bahawa bahayanya memandu dalam keadaan mabuk dan dipengaruhi dadah," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, JSPT pada masa ini sedang bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJK), dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), berhubung penggunaan kit ujian air liur bagi mengesan pemandu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

Pada 26 Jun lalu, media melaporkan Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata bahawa pihak polis akan menggunakan kit ujian air liur di lokasi SJR, untuk mengesan pemandu dan pengguna cecair dadah sintetik jenis 'Piu-Piu' serta Magic Mushroom.

Langkah itu diambil berikutan kes kemalangan yang banyak membabitkan pengguna jalan raya yang khayal akibat menggunakan dadah sintetik berkenaan yang dicampurkan dalam rokok peranti elektronik atau vape.

Kata Muhammed Hasbullah, JSPT akan terus memperkukuhkan tindakan penguatkuasaan dan perundangan terhadap kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol selaras dengan Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tegasnya, orang ramai diingatkan tidak memandu selepas mengambil minuman beralkohol serta gunakan perkhidmatan e-hailing, teksi atau pengangkutan awam sekiranya telah mengambil alkohol.

"Ahli keluarga dan rakan-rakan digalakkan menghalang individu yang mabuk daripada memandu," ujarnya.