KUALA LUMPUR - Krisis kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) yang bermula dengan isu ketidakpadanan aset dan liabiliti membawa kepada pelaksanaan pelan pemulihan berskala besar, sebelum disusuli penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu berbangkit bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Selepas TH melalui proses penstabilan kewangan dan operasi, Jemaah Menteri hari ini bersetuju mengelaskan semula serta mendedahkan laporan RCI itu kepada umum, selain memutuskan siasatan lanjut oleh badan penguat kuasa diteruskan berdasarkan dapatan laporan berkenaan.
Laporan itu menggariskan 25 syor penambahbaikan dengan pengurusan tertinggi TH telah berjaya melaksanakan 75 peratus daripadanya manakala agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025 yang diumumkan baru-baru ini membuktikan institusi itu kini berada dalam keadaan lebih baik.
Berikut ialah kronologi perkembangan krisis kewangan, pelan pemulihan dan Laporan RCI TH:
2014 - 2017: TH dilapor membayar agihan keuntungan (hibah) kepada pendeposit walaupun nilai asetnya didapati kurang daripada jumlah liabiliti yang ditanggung.
31 Disember 2017: Kajian semula kewangan mendapati TH mempunyai aset berjumlah RM70.3 bilion berbanding liabiliti RM74.4 billion.
10 Disember 2018: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ketika itu, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mendedahkan di Parlimen dapatan Jabatan Audit Negara dan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung krisis kewangan TH dengan defisit kewangan mencecah RM4.1 bilion bagi akaun 2017 dan jurang defisit keseluruhan RM10.9 bilion, selain amaran BNM berhubung krisis kecairan yang menyaksikan pengeluaran pendeposit mencecah RM6 bilion dalam tempoh singkat
31 Disember 2018: Kerajaan menerusi syarikat tujuan khas Kementerian Kewangan Diperbadankan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) mengambil alih aset-aset bermasalah TH dan menyuntik dana berbentuk sukuk bernilai RM19.6 bilion serta RM300 juta tunai sebagai langkah penyelamatan bagi memulihkan kedudukan kewangannya.
14 Julai 2021: Kerajaan bersetuju menubuhkan RCI di bawah Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 bagi menyiasat isu-isu berbangkit mengenai TH dari 2014 hingga 2020.
2022: Kerajaan Madani menerima laporan RCI TH tetapi menangguhkan penerbitannya bagi membolehkan proses penstabilan kedudukan kewangan dan operasi TH dilaksanakan terlebih dahulu tanpa menimbulkan keresahan pendeposit.
Mac 2026: TH mengumumkan kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, menandakan pemulihan kestabilan kewangan institusi berkenaan.
22 Julai 2026: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan memaklumkan Dewan Negara bahawa cadangan pendedahan laporan RCI TH akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan.
23 Julai 2026: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan laporan akhir RCI TH sedia didedahkan kepada umum selepas mendapat kelulusan Jemaah Menteri.
29 Julai 2026: Jemaah Menteri bersetuju mendedahkan Laporan RCI TH, membahaskannya pada sidang khas Dewan Rakyat, serta mengarahkan badan penguat kuasa memulakan siasatan penuh secara serta-merta. - Bernama