SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu mengekalkan sabitan bersalah dan menjatuhkan hukuman penjara selama lima tahun terhadap seorang ahli perniagaan yang menghina, mencederakan dan mengugut pengawal peribadinya kerana berpuasa pada 2021.
Hakim Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim memutuskan demikian selepas menolak rayuan Chung Chee Yang, 48, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan bersalah bagi tiga pertuduhan tersebut.
Bagaimanapun, Shamsulbahri membenarkan permohonan perayu, supaya hukuman penjara enam tahun 10 bulan, berjalan secara serentak menjadikannya kepada lima tahun sahaja.
"Mahkamah bersetuju dengan hujahan perayu bahawa Majistret terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman pemenjaraan secara berasingan sedangkan perayu melakukan kesalahan pada hari dan lokasi sama membabitkan mangsa yang serupa.
"Susulan itu, hukuman penjara seharusnya berjalan secara serentak bermula hari ini," kata hakim.
Pada 28 Mac 2025, Sinar Harian melaporkan, Chee Yang didapati bersalah oleh Mahkamah Majistret Klang dan dihukum penjara enam tahun 10 bulan serta didenda RM22,000.
Majistret, Siti Zubaidah Mahat memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagi kes mengugut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, tertuduh dihukum penjara lima tahun dan denda RM10,000, manakala bagi kes kedua iaitu mengeluarkan perkataan-perkataan yang melukakan agama Islam di bawah Seksyen 298 kanun yang sama, tertuduh dihukum penjara setahun dan denda RM10,000.
Bagi kes sengaja menyebabkan kecederaan ke atas pengawal peribadi mengikut Seksyen 323 kanun yang sama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 bulan dan denda RM2,000.
Siti Zubaidah memerintahkan hukuman pemenjaraan berjalan secara berasingan.
AKAN MENYUSUL