248 orang masih hilang di perairan di Pantai Timur

Iklan
Bot Maritim Malaysia yang digunakan dalam latihan Sarex di Tok Bali. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

PASIR PUTEH – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut di Pantai Timur kekal mencabar apabila seramai 248 mangsa masih gagal ditemui daripada 634 kes kecemasan yang direkodkan sejak penubuhan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, statistik yang meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang itu melibatkan keseluruhan 1,953 mangsa.

Iklan
Iklan

“Seramai 1,545 daripadanya berjaya diselamatkan, 248 masih hilang manakala 160 lagi ditemui meninggal dunia.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab

Iklan

“Sebahagian besar operasi melibatkan nelayan tempatan yang hilang di laut akibat cuaca buruk dan kemalangan seperti bot karam selain beberapa insiden membabitkan kapal dagang serta nelayan warga asing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media sempena Search and Rescue Exercise (Sarex) Jong Semerak 2026 di Tok Bali di sini pada Rabu.

Iklan

Mazlan mengulas, terdapat juga beberapa operasi membabitkan warga asing, namun bilangannya jauh lebih kecil berbanding kes melibatkan nelayan tempatan.

Ujar beliau, statistik berkenaan membuktikan operasi SAR di laut memerlukan kesiapsiagaan berterusan serta kerjasama erat antara semua agensi berkaitan.

“Justeru, Sarex 2026 dan latihan seumpamanya amat penting bagi memastikan setiap agensi sentiasa bersedia bertindak balas secara pantas, cekap dan berkesan apabila berhadapan dengan insiden sebenar,” katanya.

Mazlan (tiga dari kanan) melihat pasukan penyelamat memberi bantuan kepada mangsa dalam latihan Sarex.

Dalam pada itu, beliau berkata, Maritim Malaysia menetapkan tempoh respons awal tidak melebihi dua jam selepas menerima maklumat kecemasan.

Menurutnya, tempoh itu merujuk kepada tindakan menggerakkan aset atau menyelaras bantuan daripada komuniti maritim dan aset berhampiran lokasi kejadian, bukannya tempoh mangsa mesti berjaya diselamatkan.

“Apabila menerima maklumat, kita akan menggerakkan aset yang ada atau menyelaras mana-mana pihak yang paling hampir dengan lokasi mangsa supaya bantuan dapat diberikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau turut mengakui antara cabaran utama operasi ialah memastikan aset sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi memandangkan sebahagiannya semakin berusia dan memerlukan penyelenggaraan serta pembaikan secara berkala.

Bagaimanapun, katanya, keupayaan operasi Maritim Malaysia masih berada pada tahap bersedia melaksanakan tanggungjawab sepanjang masa dengan mengoptimumkan aset yang tersedia.

Mengenai Sarex Jong Semerak 2026, beliau berkata, latihan selama dua hari bermula Selasa itu menghimpunkan 23 kementerian, jabatan dan agensi termasuk Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia serta beberapa agensi lain.

Katanya, latihan itu melibatkan lebih 200 anggota serta 20 aset laut, darat dan udara bagi menguji keberkesanan prosedur operasi standard SAR, penyelarasan antara agensi dan sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999).

“Hasil latihan akan dibincangkan dalam sesi pasca latihan bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik prosedur operasi agar setiap agensi lebih cekap menghadapi insiden sebenar pada masa hadapan,” katanya.