Perkhidmatan Komuter, ETS ditambah sempena PRN Negeri Sembilan

Iklan
KTMB akan menyediakan perkhidmatan tambahan bagi KTM Komuter dan ETS bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini sempena PRN Negeri Sembilan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan perkhidmatan tambahan bagi KTM Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos ini sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

KTMB dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan inisiatif itu bagi menampung peningkatan jumlah penumpang, khususnya pengundi yang ingin pulang ke Negeri Sembilan untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian, 1 Ogos ini.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, sebanyak 18 perjalanan tambahan KTM Komuter disediakan mengikut jadual hari bekerja pada Jumaat (31 Julai), manakala 18 lagi perjalanan mengikut jadual hari minggu bagi tempoh Sabtu dan Ahad (1 hingga 2 Ogos).

"Perkhidmatan tambahan komuter ini melibatkan 10 perjalanan bagi laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves dan lapan perjalanan bagi laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim.

Iklan

"Sepanjang tiga hari berkenaan, KTMB menyediakan kapasiti keseluruhan sebanyak 233,600 penumpang, merangkumi 190,400 penumpang menerusi perkhidmatan berjadual sedia ada dan 43,200 penumpang bagi perkhidmatan tren tambahan," menurut kenyataan itu.

Bagi perkhidmatan ETS pula, KTMB akan menyediakan 30 perjalanan tambahan melibatkan laluan KL Sentral-JB Sentral-KL Sentral (12 perjalanan), JB Sentral-Seremban-JB Sentral (12 perjalanan) dan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral (enam perjalanan) dengan menawarkan keseluruhan 9,480 tempat duduk.

Iklan

Bagi laluan JB Sentral-Seremban-JB Sentral, tren EP9636 dijadual berlepas dari JB Sentral pada 2.10 petang dan tiba di Seremban pada 5.15 petang, manakala EP9637 berlepas dari Seremban pada 5.45 petang dan tiba di JB Sentral pada 8.50 malam.

Tren EP9630 pula berlepas dari JB Sentral pada 6.15 pagi (tiba 9.20 pagi) dan EP9633 berlepas dari Seremban pada 9.50 pagi (tiba 12.55 tengah hari).

Bagi laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral, waktu berlepas dari JB Sentral ialah pada 7 pagi menerusi tren EX9572 (tiba 11.10 pagi) dan 5.30 petang bagi EX9578 (tiba 9.40 malam). Tren EX9575 pula berlepas dari KL Sentral pada 11.55 pagi (tiba 4.05 petang) manakala EX9573 berlepas pada 9.05 pagi (tiba 1.20 tengah hari).

Bagi laluan KL Sentral-Padang Besar-KL Sentral, tren EP9273 dijadual berlepas dari Padang Besar pada 11.05 pagi dan tiba di KL Sentral pada 4.30 petang, manakala tren EP9276 berlepas dari KL Sentral pada 5 petang dan tiba di Padang Besar pada 10.20 malam.

Sementara itu, KTMB memaklumkan kerja-kerja di bawah Projek Menaik Taraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Kereta Api Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) di laluan terlibat akan dihentikan sementara sepanjang tempoh tiga hari tersebut bagi memastikan kelancaran dan keselamatan pergerakan tren.

Bagi pengguna KTM Komuter laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang, mereka dinasihatkan membuat pertukaran tren di Stesen KL Sentral untuk meneruskan perjalanan ke Stesen Seremban dan Stesen Pulau Sebang.

KTMB turut menasihati orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal dan menyemak jadual waktu terkini melalui saluran rasmi KTMB. - Bernama