Pemandu warga asing 'terkedu' ditahan JPJ

Iklan
Ahmad Kamarunzaman (tengah) menunjukkan motosikal roda tiga yang disita JPJ pada Rabu.

SELAYANG - Suasana sekitar Pasar Borong Selayang di sini bertukar menjadi 'tumpuan' apabila beberapa penunggang motosikal warga asing ditahan pada Rabu.

Operasi Pemandu Warga Asing (Pewa) bermula jam 6.30 pagi itu digerakkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) hasil maklumat dan aduan awam.

Iklan
Iklan

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penunggang motosikal warga asing terbabit hanya mampu terpinga-pinga ketika ditahan dan ada antara mereka sedang melakukan kerja membawa barang, namun memberi pelbagai alasan dan merayu untuk tidak diambil tindakan.

JPJ menahan warga asing yang menunggang motosikal elektrik di sekitar Selayang pada Rabu.

Iklan

Difahamkan, ada cubaan warga asing terbabit cuba menyogok anggota JPJ dengan bayaran wang agar tidak dikenakan tindakan, namun ia tidak diendahkan anggota operasi.

Pemeriksaan kenderaan seperti motosikal dan van didapati berlaku beberapa kesalahan teknikal seperti tiada nombor pendaftaran serta cermin sisi.

Iklan

Penahanan penunggang antaranya melibatkan warga India, Myanmar, Bangladesh dan Pakistan selain kenderaan motosikal yang diubah suai dan muatan berbahaya seperti timbunan barangan plastik serta besi.

Seorang etnik Rohingya dikenali Shahabudin, 25 berkata, dia sudah bekerja di premis sejuk beku di sekitar kawasan Pasar Borong Selayang sejak kira-kira dua tahun lepas.

Op Pewa digerakkan di sekitar Selayang pada Rabu.

"Saya cuma pusing-pusing sini, lima minit sahaja. Saya tolong hantar barang pada pelanggan sahaja. Saya tahu salah tak ada lesen. Maaf cik.

"Saya pinjam motosikal kawan sahaja..dia orang Indonesia," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.

Seorang lagi etnik Rohingya yang ditahan dikenali Syed, 38 berkata, dia akui tindakannya menunggang motosikal tanpa lesen adalah satu kesalahan.

Menurutnya, dia memiliki motosikal itu untuk digunakan sebagai pengangkutan di tempat kerja.

"Bos bagi saya gaji RM1,500 sebulan. Barang-barang ini (dedak jagung) bawa untuk hantar kepada pelanggan," ujarnya.

Ahmad Kamarunzaman (kiri) meninjau motosikal yang disita menerusi Op Pewa di sekitar Selayang pada Rabu.

Dalam pada itu, beberapa penunggang motosikal di kalangan etnik Rohingya mendakwa menyewa motosikal daripada warga tempatan dengan bayaran sewa RM1,000 sebulan. Malah ada yang membelinya selepas mendakwa pemilik motosikal sudah meninggal dunia.

Sementara itu, Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat berkata, operasi di sekitar Selayang telah menyita 34 kenderaan pelbagai jenis hasil pemeriksaan 126 kenderaan.

"Daripada jumlah sitaan itu, 11 ialah motosikal roda tiga, 12 motosikal, enam kenderaan persendirian serta lima lori.

"Semua kenderaan telah disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Sitaan dilaksanakan sehingga selesai pendakwaan di mahkamah dan tiada tawaran kompaun," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Selain itu, Timbalan Pengarah Penguat kuasa MPS, Muhammad Noor Salehuddin Kamis pula memaklumkan MPS turut melaksanakan 12 sitaan kenderaan membabitkan lori, basikal roda tiga, motosikal serta troli mengikut bidang kuasa pihaknya.

"Sitaan diambil kerana kesalahan antaranya perniagaan tanpa permit serta halangan tempat awam," ujarnya.