KOTA KINABALU - Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima minggu terhadapnya selepas didapati bersalah menghina mahkamah pada Rabu.
Presiden Parti Warisan (Warisan) itu berkata, beliau menghormati keputusan mahkamah berkenaan dan menyerahkan kepada proses perundangan untuk menentukan tindakan seterusnya.
"Mahkamah telah membuat keputusan dalam prosiding penghinaan mahkamah terhadap saya.
"Saya menghormati keputusan Mahkamah dan telah mengarahkan peguam saya untuk memfailkan rayuan.
"Biarlah proses undang-undang berjalan mengikut lunasnya. Namun begitu, amanah saya kepada rakyat tetap tidak berubah," katanya dalam kenyataan.
ARTIKEL BERKAITAN: Shafie Apdal dipenjara lima minggu, hukuman tangguh hingga selesai rayuan
Sebelum ini, Mohd Shafie, 68, didakwa menghina mahkamah susulan kenyataan yang dibuatnya berkaitan prosiding inkues kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir.
Kes tersebut mendapat perhatian meluas selepas kematian Zara Qairina yang ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I.
Prosiding inkues kematian remaja berkenaan kemudiannya dijalankan bagi menentukan punca kematian, dengan pelbagai pihak tampil memberikan keterangan sepanjang inkues tersebut.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan perkara tersebut bukan berkaitan kepentingan peribadi, sebaliknya berkait dengan usaha memastikan kebenaran ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus dipelihara.
"Sejak dari awal, perkara ini bukan mengenai diri saya. Ia mengenai pemergian seorang kanak-kanak yang telah menyentuh hati seluruh negara.
"Harapan saya sejak awal lagi hanyalah agar kebenaran dapat ditegakkan, keadilan dapat dilaksanakan dan keyakinan rakyat terhadap institusi negara terus diperkukuhkan," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, memandangkan perkara berkenaan kini berada dalam proses rayuan, beliau tidak akan mengulas lanjut mengenai kes tersebut.
Mohd Shafie turut memberi jaminan akan terus menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat dengan menghormati kedaulatan undang-undang.
"Saya akan terus melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada saya sebagai wakil rakyat dengan penuh integriti dan menghormati kedaulatan undang-undang.
"Komitmen saya untuk berkhidmat kepada rakyat serta mempertahankan prinsip kebenaran, keadilan dan akauntabiliti tetap tidak berubah," katanya.
Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara terhadap Mohd Shafie selepas didapati bersalah menghina mahkamah susulan kenyataan yang dibuatnya berkaitan inkues kematian pelajar Tingakatan Satu itu.
Beliau disabitkan atas kesalahan menghina mahkamah mengikut Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012 dan Perenggan 26, Jadual Ketiga Akta Mahkamah Rendah 1948.