'Bukan saya minta duit, orang yang bagi' - Peminta sedekah

Iklan
Syukur duduk di tepi jalan membuat persembahan mengharapkan sumbangan orang ramai yang menunggu lampu hijau untuk melintas jalan.

MELAKA - Aktiviti peminta sedekah di kawasan tumpuan pelancong di Dataran Pahlawan berhadapan Mahkota Parade di sini seolah-olah tiada penghujung apabila kegiatan itu masih berlaku hampir setiap hari meskipun telah diambil tindakan.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Isnin mendapati aktiviti tersebut masih diteruskan dengan peminta sedekah silih berganti di kawasan lampu isyarat berkenaan.

Iklan
Iklan

Ada dalam kalangan mereka memakai kostum haiwan, manakala sebahagian lagi memasang pembesar suara memainkan zikir sambil duduk di tepi jalan bagi menarik perhatian orang ramai.

Maskot yang dilihat berada di sekitar Dataran Pahlawan.

Iklan

Walaupun kegiatan itu pernah tular beberapa kali dan diambil tindakan oleh pihak berkuasa, pelaku dilihat tidak gentar dan terus menjalankan aktiviti berkenaan secara terbuka.

Malah, seorang daripada mereka yang menyedari dirinya dirakam lensa wartawan tanpa menunjukkan sebarang rasa panik telah memanggil pihak media untuk datang menemuinya sebelum tampil sendiri bertemu pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menjalankan pemeriksaan rutin bersama penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Iklan

Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Syukur Abdullah, 54, menegaskan dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana tidak pernah memaksa orang memberikan wang kepadanya.

Syukur mengambil gambar wartawan yang merakam kegiatannya duduk di tepi jalan meminta sedekah. Foto: Sinar.

“Bukan saya seorang saja. Hari Jumaat, Sabtu dan Ahad ramai yang buat macam ini.

"Yang pakai maskot dapat lesen tapi kami yang buat 'persembahan jalanan' tidak diberikan,” katanya mempertahankan diri.

Difahamkan, Syukur yang  sebelum ini aktif di kawasan Limbongan dengan bermain tamborin sambil mengalunkan zikir, sebelum berpindah ke lokasi berkenaan beberapa tahun lalu.

Lelaki itu mendakwa terpaksa melakukan pekerjaan tersebut bagi meneruskan kehidupan selepas sukar memperoleh bantuan daripada pihak berkaitan.

Menurutnya, hasil yang diperoleh adalah sekitar RM30 hingga RM40 sehari untuk menampung perbelanjaan harian termasuk sewa bilik sebanyak RM450 sebulan.

Bagaimanapun, berdasarkan pendedahan media sebelum ini membongkar aktiviti itu mampu mencecah sehingga RM10,000 sehari di kawasan sama.

Sementara itu, Pengarah JKM Melaka, Halyjah Muhammad berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai penularan isu berhubung aktiviti peminta sedekah di kawasan Dataran Pahlawan dan telah menjalankan operasi bersama beberapa agensi berkaitan pada Isnin.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati individu yang diadukan kerana duduk di tengah jalan tidak berada di lokasi, sebaliknya hanya terdapat seorang lelaki dikenali sebagai Syukur yang sedang membuat persembahan di kawasan berkenaan.

Syukur menuju ke pegawai JKM yang dapat membuat pemantauan. Foto: Sinar.

“Syukur merupakan seorang mualaf yang menyewa bilik dan memaklumkan pernah berurusan dengan MBMB untuk mendapatkan lesen serta membuat permohonan bantuan JKM.

“Bagaimanapun, semakan mendapati tiada rekod permohonan bantuan kebajikan di bawah JKM. Pihak kami telah memberikan amaran dan mengarahkannya beredar dari lokasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, JKM telah mengadakan lawatan ke bilik sewa lelaki itu sehari kemudian bagi menilai keadaan sebenar dan mempertimbangkan bantuan yang bersesuaian.

“Selain itu, individu berkenaan juga akan dirujuk kepada Unit Kaunseling Daerah bagi tujuan pembangunan diri sekiranya perlu.

“Bagi seorang lagi individu dikenali sebagai Mat Isa yang turut dikesan menjalankan aktiviti sama sebelum ini, dia merupakan penerima bantuan JKM dan bantuan makanan daripada MAIM.

Seorang peminta sedekah yang dilihat duduk ditepi jalan sebelum menghilangkan sebelum tempat itu diambil alih Syukur beberapa minit kemudian. Foto: Sinar.

Lawatan ke rumahnya mendapati dia tinggal bersama isteri yang mempunyai masalah kesihatan serta anak-anak yang masih bersekolah.

“Semakan semula bantuan kebajikan akan dilakukan sekiranya bersesuaian dan dia juga boleh dirujuk kepada Unit Kaunseling Daerah bagi pembangunan diri serta keluarganya,” katanya.