HASRAT Malaysia mempertahankan gelaran beregu campuran pada Kejohanan Badminton Dunia di New Delhi dari 17 hingga 23 Ogos ini tidak kesampaian apabila juara bertahan, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei sah menarik diri susulan kecederaan lutut yang dialami Ee Wei.
Bagaimanapun, cabaran negara tetap diteruskan menerusi dua wakil apabila pasangan ranking ke-43 dunia, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, dinaikkan ke undian utama selepas sebelum ini berada dalam senarai simpanan.
Mereka akan bergandingan dengan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie bagi menggalas cabaran Malaysia pada kejohanan berprestij itu.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengesahkan penarikan diri Tang Jie-Ee Wei sambil memaklumkan Ee Wei masih menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kiri ketika aksi suku akhir Terbuka Singapura pada Mei lalu.
Dalam pada itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam kenyataannya memaklumkan keputusan menarik diri daripada kejohanan itu dibuat atas nasihat pasukan perubatan dengan keutamaan diberikan kepada pemulihan jangka panjang Ee Wei selepas menjalani pembedahan lutut.
Menurut BAM, badan induk itu turut mengemukakan permohonan kepada BWF bagi melindungi kedudukan ranking dunia Ee Wei sepanjang tempoh beliau menjalani proses rehabilitasi.
Turut menarik diri daripada kejohanan itu ialah pasangan Indonesia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil serta wakil Algeria, Koceila Mammeri-Tanina Violette Mammeri.
Tempat mereka masing-masing diisi oleh pasangan China, Chen Xing-Zhang Chi dan beregu Indonesia, Marwan Faza-Aisyah Salsabila Putri Pranata.
Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah tahun lalu apabila muncul beregu campuran pertama negara menjuarai Kejohanan Dunia selepas merangkul gelaran di Paris, Perancis.