Baru setengah jam tutup, kedai nasi sup musnah dibadai angin kencang

Iklan
Nor Ayu melihat papan tanda kedai makannya yang jatuh dibadai angin kencang. 

MACHANG – Hanya setengah jam selepas menutup operasi, sebuah kedai nasi sup yang menjadi punca rezeki seorang peniaga sejak empat tahun lalu ranap dibadai ribut di Kampung Bukit Bilal di sini pada Selasa.

Peniaga, Nor Ayu Josoh, 40, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika kedainya sudah ditutup dan tiada pekerja mahupun pelanggan berada di lokasi.

Iklan
Iklan

Nor Ayu 

Ibu kepada enam anak berusia antara tujuh hingga 19 tahun itu berkata, dia pulang ke rumah selepas menutup premis pada jam 5.30 petang sebelum menerima panggilan daripada anaknya yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

Iklan

“Saya tutup kedai seperti biasa. Masa itu cuma hujan renyai, tak sangka hanya sekejap kemudian angin datang terlalu kuat sehingga memusnahkan kedai.

“Anak telefon beritahu kedai saya roboh. Apabila saya sampai, saya terus tergamam. Selama ini saya tengok orang lain ditimpa musibah, kali ini berlaku kepada diri sendiri,” katanya ketika ditemui di lokasi pada Rabu.

Iklan

Bumbung zink melayang hingga ke bahagian tepi kedai. 

Nor Ayu berkata, kerugian dianggarkan hampir RM100,000 membabitkan kerosakan struktur kedai, meja, kerusi, rak lauk-pauk, dapur, dinding serta pelbagai kelengkapan perniagaan.

Lebih menyedihkan, katanya, pelbagai barangan mentah baru saja dibeli sehari sebelum kejadian menggunakan duit modal untuk menyediakan menu nasi berlauk dan sup.

“Kami mula berniaga seawal jam 7.30 pagi setiap hari kecuali Jumaat.

“Semua persiapan untuk berniaga hari ini sudah dibuat semalam, tetapi semuanya musnah,” katanya.

Besi palang bumbung yang runtuh selepas kena angin kencang. 

Nor Ayu berkata, kejadian itu turut menjejaskan empat pekerjanya yang kini tidak dapat bekerja sehingga operasi kedai dapat disambung semula.

Sementara itu, pemilik bengkel berhampiran, Tan Wei Chiang, 35, berkata, hujan renyai bertukar menjadi ribut apabila angin bertiup luar biasa kuat.

“Pada mulanya hujan renyai, kemudian angin datang dengan sangat kuat dan terus membadai kawasan ini.

“Bumbung kedai nasi sup dan kedai cendol bersebelahan diterbangkan angin. Payung, papan tanda, malah motosikal dan kereta turut dihempap serpihan yang berterbangan,” katanya.

Wei Chiang berkata, kejadian itu berlaku dalam tempoh singkat sebelum hujan lebat berserta kilat melanda kawasan berkenaan.