Slot tetap kalendar F1 perlu modal lebih RM300 juta - CEO SIC

Iklan
Terdapat dua syarat utama sekiranya Malaysia mahu kembali memperoleh slot tetap dalam kalendar Formula 1.

MALAYSIA perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM300 juta setahun sekiranya mahu mendapatkan semula slot tetap Formula 1 (F1) dalam kalendar perlumbaan dunia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif.

Beliau berkata, anggaran itu merangkumi yuran hak penganjuran Formula 1 yang kini dianggarkan sekitar AS$70 juta-AS$80 juta (RM289 juta hingga RM340 juta) serta kos persiapan tempatan, bagi memenuhi spesifikasi penganjuran perlumbaan berprestij itu.

Iklan
Iklan

"Anggaran saya tidak kurang daripada RM300 juta. Itu dari segi kos. Tetapi kita perlu lihat pulangan secara keseluruhan. Data yang saya lihat, kebanyakan negara hos mendapat pulangan sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada nilai yang dibelanjakan.

"Maknanya jika belanja 300 juta, potensi pulangan kepada negara boleh mencecah RM1 bilion,” katanya pada sidang media di SIC pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, terdapat dua syarat utama sekiranya Malaysia mahu kembali memperoleh slot tetap dalam kalendar Formula 1, iaitu kemampuan membayar yuran hak penganjuran dan kekosongan slot dalam kalendar perlumbaan itu.

"Fokus kerajaan sekarang bukan untuk mengeluarkan wang bagi acara antarabangsa, tetapi untuk membantu rakyat dari segi ekonomi dan kos sara hidup. Mungkin pada masa hadapan, berdasarkan data yang kita peroleh daripada penganjuran ini, ia boleh menjadi titik tolak kepada keputusan kita.

Iklan

"Faktor lain ialah slot dalam kalendar F1 itu sendiri. Jika tiada slot, ia tidak akan berlaku. Jadi dua kriteria utama ialah ada duit untuk bayar rights fees dan ada slot dalam kalendar,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran Formula 1 Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia pada 2 hingga 4 Oktober ini merupakan acara sekali sahaja dan tumpuan ketika ini ialah memastikan penganjurannya berjalan lancar.

"Buat masa sekarang, fokus kita adalah untuk menjayakan penganjuran ini. Kita kerja bersama Bahrain dan F1 untuk acara ‘one-off’ ini. Kita lihat jika kita boleh dapatkan kepercayaan daripada pihak berkepentingan, kerajaan, F1 dan kerajaan Bahrain. Mungkin kita boleh pertimbangkan semula,” katanya.

Malaysia sebelum ini pernah menjadi tuan rumah Grand Prix Malaysia di Sepang dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan itu digugurkan daripada kalendar Formula 1. - Bernama