JAKARTA – Tindakan sekumpulan pendaki membawa seekor lembu mendaki Gunung Rinjani di Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia semata-mata untuk dijadikan bekalan makanan mencetuskan kemarahan netizen.
Aksi tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik semula oleh pemilik akaun Instagram @pendakilawas.
Ia menunjukkan seekor lembu berdepan kesukaran ketika menaiki tangga batu di laluan pendakian tersebut.
Turut kelihatan seorang pemuda cuba menarik tali yang diikat pada lembu tersebut dari arah atas.
Berdasarkan keterangan di video tersebut, kumpulan berkenaan membawa lembu bagi menampung keperluan makanan untuk 10 orang pendaki dan 14 porter.
Bagaimanapun, perjalanan haiwan itu terpaksa dihentikan di kawasan Cikararat atau Gua Susu berikutan bentuk muka bumi yang terlalu sukar, berbatu dan berbahaya.
“Akhirnya, lembu disembelih di lokasi tersebut dan dagingnya dimasak untuk hidangan seluruh rombongan,” demikian menurut keterangan dalam hantaran tersebut.
Video tersebut mengundang kecaman warga maya.
Tindakan itu dianggap tidak berperikemanusiaan kerana lembu tersebut dipaksa untuk mendaki.
Menjawab isu berkenaan, jelas Ketua sub-bahagian Tata Usaha Balai Taman Negara Gunung Rinjani, Astekita Ardiaristonya, pihak berkuasa tempatan mengesahkan perbuatan tersebut melanggar undang-undang zon pemeliharaan.
"Rakaman tersebut merupakan kejadian lama yang berlaku tahun lalu, namun pihak pengurusan memandang serius perkara berkenaan.
“Membawa sebarang jenis haiwan atau hidupan liar ke dalam kawasan taman negara adalah dilarang sama sekali mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) pendakian kami,” ujarnya. - AGENSI