KEMENANGAN bergaya 4-0 ke atas Laos memberi bekalan keyakinan terbaik buat Harimau Malaya menjelang aksi getir menentang juara tujuh kali, Thailand dalam saingan Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu ini.
Ketua jurulatih sementara, Tan Cheng Hoe berkata, tiga mata yang diraih di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada Selasa malam bukan sahaja membolehkan Malaysia mengekalkan momentum kemenangan, malah membantu meningkatkan keserasian pemain menjelang ujian sebenar menentang Thailand.
"Sebagai jurulatih, saya sangat gembira dengan keputusan ini. Kami berjaya mengekalkan momentum dan mengembalikan keserasian dalam pasukan.
"Sudah tentu masih banyak perkara yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan prestasi. Kami mempunyai dua hari lagi untuk membuat persiapan menghadapi Thailand," katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas mengenai cabaran di Bangkok, Cheng Hoe mengakui Malaysia bakal berdepan lawan yang jauh lebih mencabar kerana Thailand memiliki barisan pemain berkualiti selain beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Beliau turut mengakui anak buahnya berdepan kesukaran memecah kebuntuan pada separuh masa pertama apabila Laos bertahan dengan cukup tersusun, namun jaringan pembukaan kapten Paulo Josue sebelum rehat menjadi titik perubahan yang menyuntik keyakinan kepada pasukan.
Malaysia kemudian tampil lebih bertenaga pada babak kedua apabila menambah tiga lagi gol menerusi Endrick, jaringan sendiri Viegxay Sydavoing dan Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut sekali gus mengukuhkan kedudukan di puncak Kumpulan B dengan enam mata.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, G Pavithran dari JDT II menyifatkan kepercayaan serta sokongan rakan sepasukan, terutama pemain senior, menjadi faktor utama yang membolehkannya mempamerkan aksi cemerlang termasuk mencipta dua bantuan gol.
Pemain sayap muda berusia 21 tahun itu berharap Malaysia mampu membawa momentum kemenangan ke Bangkok dan meraih satu lagi keputusan positif ke atas Thailand bagi mencerahkan peluang mara ke separuh akhir.
Thailand dan Myanmar masing-masing mengumpul tiga mata di tangga kedua dan ketiga, manakala Filipina serta Laos masih belum mengutip sebarang mata.
Selepas aksi di Rajamangala, Harimau Malaya akan mengakhiri kempen Kumpulan B dengan melayan kunjungan Filipina di Cheras pada 8 Ogos.
Dua pasukan teratas layak ke separuh akihr.