Wawasan mahu 'makan pasaran' PKR, Amanah dan DAP, bukan pecah undi Melayu - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal pada program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara' dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa. Foto: ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Parti Wawasan Negara (Wawasan) menyasarkan untuk 'makan pasaran' Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP dengan menarik sokongan pengundi yang kecewa terhadap Pakatan Harapan (PH), bukannya untuk memecahkan undi Melayu.

Ketua Penerangan Wawasan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, strategi itu merupakan antara pendekatan parti berkenaan bagi memperkukuhkan sokongan Perikatan Nasional (PN), selain menembusi kelompok pengundi pertengahan yang sebelum ini sukar memberikan sokongan kepada gabungan tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Wawasan mahu meraih sokongan pengundi PKR, Amanah dan DAP yang tidak lagi yakin dengan PH.

"Kami sebenarnya bergerak ke arah kelompok tengah. Kami nak memperkuatkan PN itu sendiri. Kami nak 'makan pasaran' PKR dan Amanah dan juga DAP yang mana akan menolak PH, kecewa dengan PH.

Iklan

"Kami nak makan pasaran-pasaran ini, undi-undi yang mungkin kita akan dapat, insya-ALLAH dalam Negeri Sembilan, yang pertama kami bertanding," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada program Berani Semuka Sinar Harian bertajuk 'Seteru Jadi Kawan, Kawan Jadi Seteru: Politik Matang atau Huru-Hara' yang dihoskan oleh Ismail Adnan pada Selasa.

Iklan

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan menjadi medan pertama Wawasan menguji kekuatan parti itu dalam pilihan raya.

Menurutnya, walaupun Wawasan merupakan parti baharu, parti itu diperkuatkan dengan penyertaan ramai pemimpin veteran yang sebelum ini bersama Bersatu.

"Parti baharu tapi ramai otai-otai veteran dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang masuk dalam Wawasan. Jadi kami bersedia berdepan dengan cabaran ini, insya-ALLAH," katanya.

Mengulas dakwaan bahawa penubuhan Wawasan boleh memecahkan undi Melayu, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan tanggapan itu berpunca daripada salah faham terhadap identiti parti tersebut.

Menurutnya, Wawasan bukan sebuah parti Melayu, sebaliknya parti yang bercita-citakan Perlembagaan Malaysia dengan komposisi keahlian dan kepimpinan pelbagai kaum.

"Parti Wawasan Negara bukan parti Melayu. Komposisi keahlian dan kepimpinan parti Wawasan Negara adalah pelbagai kaum.

"Presiden Melayu-Islam, timbalan kami Cina. Kami ada dua naib presiden Cina. Ahli Majlis Tertinggi pun bercampur, ada Melayu, Cina, India, Kadazan dan wakil dari Sabah," katanya.

Beliau berkata, atas faktor itu, Wawasan tidak boleh disamakan dengan UMNO atau Pas, selain tidak ditubuhkan untuk memecahkan undi Melayu.

Sebaliknya, katanya, penubuhan Wawasan bertujuan merangkul lebih banyak sokongan, terutama daripada golongan pertengahan di Pantai Barat yang berdepan kesukaran untuk mengundi PN.