SPRM perkukuh agenda integriti menerusi ASEAN-PAC

Iklan
Abd Halim mempengerusikan Mesyuarat Principals ASEAN-PAC Ke-22 pada Selasa.

MELAKA - Peranan ASEAN Parties Against Corruption (ASEAN-PAC) perlu terus diperkasakan sebagai platform utama dalam memperkukuh agenda integriti, tadbir urus yang baik serta kerjasama serantau bagi membanteras rasuah yang semakin kompleks dan merentas sempadan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Sri Abd Halim Aman berkata, komitmen bersama negara anggota ASEAN-PAC menjadi asas penting dalam membina institusi berintegriti yang diyakini masyarakat serta berupaya menangani cabaran rasuah sentiasa berubah.

Iklan
Iklan

“ASEAN-PAC hari ini bukan lagi sekadar platform dialog serantau, sebaliknya berkembang menjadi sebuah komuniti agensi antirasuah yang dipercayai, disatukan oleh matlamat bersama serta komitmen memperkukuh integriti di rantau ini,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Principals ASEAN-PAC Ke-22 yang berlangsung di sebuah hotel di Bandar Hilir pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya; Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman dan Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan SPRM, Datuk Adi Supian Shafie.

Iklan

Abd Halim berkata, cabaran rasuah pada masa kini tidak lagi terhad kepada sempadan sesebuah negara, malah melibatkan eksploitasi teknologi digital, sistem kewangan dan kelemahan rentas sempadan oleh rangkaian jenayah yang semakin sofistikated.

Katanya, mesyuarat selama dua hari itu menjadi platform penting untuk memperkukuh kemajuan yang telah dicapai di bawah Kepengerusian Malaysia serta membentuk hala tuju ASEAN-PAC pada masa hadapan.

Iklan

Beliau pada masa sama turut mengalu-alukan penyertaan rakan strategik antarabangsa termasuk International Association of Anti-Corruption Authorities (IAACA), United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC), Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) dan Asian Development Bank (ADB).

“Sokongan berterusan organisasi ini menerusi kerjasama teknikal, perkongsian pengetahuan dan pembangunan kapasiti telah banyak menyumbang kepada perkembangan ASEAN-PAC sebagai platform kerjasama antirasuah yang lebih berkesan.

“Penghargaan juga kepada semua negara anggota ASEAN-PAC dan rakan strategik antarabangsa atas komitmen serta persahabatan yang telah memperkukuh kerjasama serantau sejak penubuhannya,” katanya.