KUALA NERUS - Seramai 500 peserta dijangka menghadiri Konvensyen Baitulmal Kebangsaan (KBK) 2026 yang menghimpunkan pelbagai agensi serta institusi pengurusan hal ehwal Islam selama dua hari bermula Selasa hingga Rabu.
Program anjuran Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) itu diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini.
Ketua Pengarah JAWHAR, Datuk Mohd Zaidi Ramli berkata, KBK 2026 yang memasuki siri keenam penganjuran dwitahunan ini mengangkat tema Wawasan Baharu Kewangan Sosial Islam: Transformasi Baitulmal, Memperkasa Agenda Fardu Kifayah.
Menurutnya, ia menjadi platform utama menghimpunkan institusi pengurusan baitulmal, wakaf, zakat, sumber am, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, pakar akademik serta pengamal industri bagi membincangkan hala tuju dan transformasi pengurusan baitulmal di Malaysia.
"Sepanjang dua hari penganjuran, para peserta akan mengikuti pelbagai sesi pembentangan, forum dan perkongsian ilmu yang menampilkan tokoh-tokoh berpengalaman dalam bidang kewangan sosial Islam.
"Ia sekali gus menjadi medan percambahan idea bagi memperkukuh tadbir urus institusi baitulmal agar terus relevan, inovatif dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara," katanya.
Beliau berkata, KBK terus memainkan peranan penting sebagai platform penyelarasan dasar, perkongsian amalan terbaik dan pengukuhan jaringan kerjasama antara institusi pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.
"Penganjuran KBK 2026 bertujuan merangka hala tuju dan strategi dalam memperkasa sosioekonomi ummah berteraskan sektor ekonomi fardu kifayah, meningkatkan kompetensi institusi pengurusan baitulmal melalui perkongsian kepakaran, pengalaman dan amalan terbaik.
"Penganjuran pada tahun ini mencerminkan komitmen berterusan JAWHAR dan MAIDAM dalam memperkasa sistem kewangan sosial Islam yang mampan demi kesejahteraan ummah serta pembangunan negara
"Selain itu, ia turut berhasrat memperkukuhkan persefahaman serta kerjasama strategik antara JAWHAR dengan institusi pengurusan baitulmal di seluruh negara," ujarnya.
Peserta konvensyen terdiri daripada wakil Majlis Agama Islam Negeri (MAIN), Agensi Mengurus Zakat (AMZ), Agensi Mengurus Wakaf (AMW), Agensi Mengurus Sumber Am (ASA), Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, agensi-agensi kerajaan Persekutuan, serta pembentang jemputan.
Majlis Perasmian Konvensyen akan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hassan, manakala Majlis Penutupan pula akan disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Terengganu, Datuk Mohd Azmi Mohamad Daham.