BENTONG - City University Malaysia melakar sejarah apabila menjadi universiti swasta pertama di negara ini melaksanakan Program Transformasi Kehidupan dan Keusahawanan bersama Jabatan Penjara Malaysia bagi membantu prospek membina semula kehidupan menerusi pendidikan dan pembangunan kemahiran.
Naib Canselor City University Malaysia, Profesor Dr Rosnizah Shaari berkata, program yang dijalankan dengan sokongan strategik Yayasan Taqwa-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu memberi peluang kepada prospek di Penjara Bentong mengikuti latihan berasaskan pembangunan diri, pengurusan kewangan, komunikasi profesional, penjenamaan produk, keusahawanan digital serta perancangan masa depan sebagai persediaan kembali ke pangkuan masyarakat.
"Sebagai sebuah universiti, tanggungjawab kami bukan sekadar melahirkan graduan, tetapi menyentuh kehidupan manusia. Pendidikan mempunyai kuasa untuk mengubah seseorang.
"Apabila seseorang itu berubah, keluarganya akan berubah. Apabila keluarga berubah, masyarakat juga akan menjadi lebih baik. Itulah sebabnya City University Malaysia memilih untuk membawa pendidikan ke tempat yang paling memerlukan harapan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.
Dalam pada itu beliau menjelaskan, kejayaan sebenar program tersebut tidak hanya diukur menerusi modul yang diajar, sebaliknya berdasarkan perubahan keyakinan dan sikap yang ditunjukkan oleh prospek sepanjang mengikuti latihan berkenaan.
Malah menurutnya, peserta program semakin berani berkomunikasi, lebih yakin menyatakan impian serta mula merancang masa depan termasuk menyambung pelajaran, mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri selepas dibebaskan.
"Program ini juga merupakan sebahagian daripada komitmen University Social Responsibility (USR) universiti dalam memperluaskan akses kepada pendidikan berkualiti serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 iaitu pendidikan berkualiti dan SDG 10 mengurangkan ketidaksamaan," ujarnya.
Sementara itu seorang prospek yang mengikuti program itu berkongsi pengalaman mengenai perubahan dirinya yang sebelum ini beranggapan kehidupan sudah tiada masa depan, namun kini yakin mempunyai peluang untuk berubah.
Katanya, program berkenaan bukan sahaja memberi ilmu, malah membina semula keyakinan diri dan harapan untuk membuktikan kepada keluarga bahawa beliau mampu menjadi insan yang lebih baik.