Lelaki bersenjata pistol samun kedai serbaneka, larikan wang dan barangan

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan kes samun di sebuah kedai serbaneka di sini pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai bersenjatakan pistol melarikan wang tunai dan beberapa barangan makanan selepas menyamun sebuah kedai serbaneka di Jalan Sibu, Taman Wahyu, di sini pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, suspek yang dipercayai lelaki tempatan memasuki premis berkenaan dengan memakai baju sejuk dan seluar berwarna kelabu, selain topi keledar berwarna hitam serta membawa beg silang.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni berkata, suspek kemudian mengambil beberapa barangan makanan dari rak jualan sebelum memasukkannya ke dalam beg yang dibawa.

“Suspek turut mengugut mangsa dengan menunjukkan sepucuk pistol sebelum melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal yang diparkir di hadapan pintu masuk premis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Basri berkata, pengurus operasi premis berusia 44 tahun tampil membuat laporan polis berhubung kejadian itu kira-kira jam 10.01 pagi.

"Jumlah kerugian akibat kejadian tersebut dianggarkan sebanyak RM1,052. Susulan laporan yang diterima, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menangkap suspek,” katanya.

Iklan

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohd Iskandar Zulkarnain di talian 011-33234095 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.