IPOH - Keadaan keluarga dua pelajar perempuan berusia 14 tahun yang ditemui meninggal dunia di sebuah bangunan kosong di Buntong, Jumaat lalu berada dalam keadaan stabil meskipun masih berdepan kesedihan akibat kehilangan.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah turun padang menyantuni keluarga terlibat bagi menilai kesan psikologi yang dialami.
Menurutnya, hasil pemantauan mendapati keluarga mangsa dapat menguruskan keadaan dengan baik tanpa keperluan segera untuk sesi kaunseling.
“Mana-mana keluarga pun tidak mudah menerima kehilangan secara mengejut, namun hasil tindakan JKM yang turun menyantuni keluarga, kita melihat mereka dalam keadaan yang terkawal.
“Setakat ini tidak ada keperluan untuk sesi kaunseling kerana mereka dilihat mampu mengawal emosi dan keadaan dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Prismanita dan Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) Perak 2026 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Dr Faridah Awang.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, dua pelajar perempuan yang sepatutnya mengikuti sesi persekolahan petang ditemukan maut di sebuah bangunan perumahan kosong dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang.
Siasatan awal polis tidak menemukan sebarang penglibatan pihak lain dan kedua-dua mangsa dipercayai meninggalkan kawasan sekolah secara sukarela sebelum kejadian.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua pelajar perempuan ditemukan maut
Tiada penglibatan pihak lain, mangsa sukarela tinggalkan kawasan sekolah - Polis
'Anak saya masih pakai baju PJ sama seperti hantar ke sekolah' - Ibu pelajar maut
Dua-pelajar-perempuan-maut-rakan-baik-belajar-di-sekolah-sama
Salbiah menegaskan, kerajaan negeri akan terus memperkukuh langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang, termasuk memperluas program advokasi dan meningkatkan kesedaran masyarakat.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan masyarakat lebih peka terhadap persekitaran serta berani melaporkan sebarang situasi mencurigakan.
“Kita akan tingkatkan program-program advokasi supaya masyarakat lebih cakna. Jika ada jiran atau individu yang dilihat mencurigakan, laporkan kepada pihak berkuasa," katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga sedang merancang inisiatif baharu termasuk cadangan penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani jenayah kanak-kanak dan yang melibatkan pelajar termasuk isu buli.
“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Exco Pendidikan bagi melihat keperluan mewujudkan jawatankuasa ini dengan penglibatan rakan strategik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Salbiah memaklumkan trend kes keganasan rumah tangga di Perak dilihat masih terkawal dan berpotensi menurun berdasarkan data semasa.
Ujar beliau, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak mencatatkan sebanyak 1,116 kes pada 2025, manakala 405 kes direkodkan bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Jika dilihat pada separuh tahun, jumlah itu masih belum melepasi keseluruhan kes tahun lalu. Kita berharap bagi baki tempoh tahun ini, kes-kes sedemikian dapat dikurangkan lagi," katanya.
Program Aku Wanita@KRT memberi penekanan kepada empat matlamat utama iaitu pencegahan melalui kefahaman hak dan undang-undang, memupuk keberanian mangsa untuk tampil mendapatkan keadilan, memperkukuh advokasi komuniti serta melaksanakan tindakan bersasar mengikut trend kes setempat.