FIFA disiasat berhubung dakwaan rasuah, hubungan Trump

Iklan
Raskin telah memulakan siasatan terhadap FIFA berhubung kemungkinan berlaku rasuah dan quid pro quo melibatkan badan itu dengan pentadbiran Trump.

WASHINGTON - Seorang anggota Parti Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin berkata beliau telah memulakan siasatan terhadap FIFA berhubung kemungkinan berlaku rasuah dan quid pro quo melibatkan badan itu dengan pentadbiran Trump, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam surat yang dihantar lewat Ahad kepada Presiden FIFA, Gianni Infantino, anggota Dewan Perwakilan Jamie Raskin, anggota kanan Parti Demokrat dalam Jawatankuasa Kehakiman Dewan Perwakilan berkata, siasatan itu akan meneliti 'kempen berterusan' oleh FIFA untuk mendapatkan layanan yang menguntungkan daripada Presiden AS, Donald Trump, termasuk pengguguran kes rasuah berprofil tinggi di AS yang melibatkan badan induk bola sepak dunia itu.

Iklan
Iklan

"Quid pro quo terkini yang diatur oleh FIFA dan Presiden Trump bukanlah jenayah tanpa mangsa,” kata Raskin.

Beliau mendakwa FIFA menggunakan hubungannya dengan pentadbiran Trump untuk terlibat dalam 'pemerasan harga yang menyalahi undang-undang dan taktik jualan berbentuk penipuan' bagi tiket Piala Dunia.

Iklan

Menurut Raskin, siasatan itu akan meneliti tadbir urus FIFA di bawah Infantino, termasuk dakwaan bahawa badan itu melemahkan perlindungan etika dalaman ketika berusaha memupuk hubungan lebih rapat dengan Trump.

Anggota kongres itu turut menuduh pentadbiran Trump menghentikan penguatkuasaan antirasuah yang melibatkan FIFA selepas pendakwaan Jabatan Kehakiman sebelum ini mendedahkan skim rasuah antarabangsa yang telah lama beroperasi dan dikaitkan dengan hak media bola sepak.

Iklan

Raskin berkata, siasatan Jabatan Kehakiman sebelum ini mendedahkan rasuah dan sogokan bernilai lebih AS$200 juta melibatkan defendan dari lebih 20 negara.

Beliau mendakwa walaupun berjaya mendapatkan sabitan dalam beberapa kes, pentadbiran Trump kemudiannya menggugurkan pendakwaan, sekali gus membolehkan defendan yang telah disabitkan kesalahan dibebaskan.

Siasatan itu juga akan memberi tumpuan kepada amalan penjualan tiket Piala Dunia oleh FIFA, yang menurut Raskin termasuk kenaikan harga, penetapan harga dinamik dan dasar yang membenarkan penurunan taraf tempat duduk selepas pembelian.

Raskin meminta dokumen dan komunikasi berkaitan sebarang hadiah, bayaran atau manfaat lain yang didakwa diberikan oleh FIFA kepada Trump atau sekutunya, selain rekod mengenai hubungan FIFA dengan pegawai kerajaan AS serta amalan penjualan tiket badan itu.

Beliau turut meminta rekod pelawat ke pejabat FIFA di Trump Tower dan meminta Infantino hadir di hadapan jawatankuasa itu untuk sesi temu bual yang ditranskripsikan.

"Selain itu, bagi membantu siasatan ini, kami meminta anda, semasa berada di Amerika Syarikat, hadir untuk sesi temu bual yang ditranskripsikan dengan jawatankuasa ini.

"Sila hubungi kakitangan Demokrat dalam jawatankuasa selewat-lewatnya jam 5 petang pada 9 Ogos 2026 untuk menjadualkan temu bual ini,” kata Raskin dalam surat itu. - Bernama/Anadolu