RINGGIT dibuka tinggi berbanding kebanyakan mata wang utama pada Selasa namun rendah sedikit berbanding dolar AS, dipengaruhi sentimen pasaran berikutan ketidaktentuan yang masih berlarutan berhubung rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran.
Pada jam 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada paras 4.0850/0900 berbanding dolar AS daripada 4.0835/0875 ketika ditutup pada Isnin.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, terdapat kemungkinan besar untuk kadar faedah di AS dinaikkan, yang akan mengukuhkan nilai dolar AS.
"Peniaga dan pelabur akan memberi tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS yang dijadualkan berlangsung hari ini dan esok (28-29 Julai 2026).
"Sehubungan itu, gandingan ringgit dan dolar AS dijangka terus bergerak dalam julat kecil hari ini,” katanya kepada Bernama.
Pada awal dagangan hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ringgit meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4940/4973 daripada 2.4969/4994 ketika ditutup semalam, mengukuh berbanding euro kepada 4.6438/6495 daripada 4.6536/6581 serta naik berbanding pound Britain kepada 5.4281/4348 daripada 5.4433/4486 sebelum ini.
Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang serantau.
Unit tempatan mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1627/1669 daripada 3.1653/1686 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1379/1589 daripada 12.1612/1775 sebelumnya.
Mata wang tempatan susut berbanding rupiah Indonesia kepada 226.8/227.2 daripada 226.7/227.0 dan tidak berubah berbanding peso Filipina pada 6.62/6.63. - Bernama