JAGUH angkat berat negara, Muhammad Erry Hidayat menghadiahkan pingat emas ketiga buat kontinjen Malaysia di Sukan Komanwel Glasgow 2026 selepas mengungguli acara 79 kilogram (kg) lelaki dengan memecahkan rekod temasya pada Selasa.
Atlet berusia 26 tahun itu melakukan angkatan keseluruhan 331kg menerusi catatan 147kg dalam snatch dan 184kg dalam clean and jerk, sekali gus menghadiahkan emas sulungnya di pentas Sukan Komanwel selepas meraih perak dalam kategori 73kg pada edisi Birmingham 2022.
Iklan
Iklan
Kejayaan itu turut melengkapkan legasi keluarga apabila Muhammad Erry mengikut jejak langkah bapanya, Hidayat Hamidon yang meraih pingat emas pada Sukan Komanwel (SUKOM) Kuala Lumpur 1998.
Muhammad Erry memastikan emas menjadi miliknya selepas menewaskan pencabar dari India, Valluri Ajaya Babu dengan kelebihan hanya satu kilogram.
Valluri melakukan angkatan keseluruhan 330kg hasil 149kg dalam snatch dan 181kg bagi clean and jerk.
Pingat gangsa pula menjadi milik Chris Murray dari England yang mencatat angkatan keseluruhan 325kg menerusi 148kg dalam snatch dan 177kg dalam clean and jerk.
Kejayaan Muhammad Erry menyaksikan Malaysia kini mengumpul tiga pingat emas dalam acara angkat berat di Glasgow 2026 selepas Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing muncul juara kategori 60kg dan 65kg pada Ahad.