PARIS - Kebakaran hutan amat dahsyat yang sedang memusnahkan kawasan barat daya Perancis telah mencetuskan fenomena 'pyrocumulonimbus' yang sangat berbahaya iaitu satu fenomena yang tidak pernah berlaku sebelum ini, menurut jurucakap Persekutuan Anggota Bomba Kebangsaan Perancis (FNSPF).
Awan cumulonimbus flammagenitus terbentuk apabila sumber haba yang ekstrem seperti letusan gunung berapi atau kebakaran hutan memanaskan udara berhampiran permukaan bumi sehingga ia melonjak naik dengan begitu pantas dan seterusnya membentuk awan yang menjulang ke atmosfera.
Udara yang naik itu kemudiannya menyejuk dan membentuk awan atau 'awan api', satu jisim udara yang bergelora yang mampu menjana anginnya sendiri, sekali gus memburukkan lagi kebakaran. Jika kepulan awan itu menjadi sangat besar, ia juga boleh menghasilkan kilat.
Sebelum ini, fenomena seperti itu kebanyakannya hanya dilihat di Australia dan Amerika Utara yang sering dilanda kebakaran hutan.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) menggelarnya sebagai 'naga awan yang memuntahkan api'.
Jurucakap FNSPF, Leftenan Kolonel Eric Brocardi berkata, awan asap tersebut mewujudkan sistem cuacanya sendiri menyebabkan apa sahaja yang berada di laluannya boleh terbakar secara spontan.
"Harapan untuk mengawal kebakaran ini hanya bergantung pada dua perkara sama ada hujan lebat yang berterusan selama kira-kira tiga hari atau usaha menghalakan kebakaran ke kawasan yang boleh menghentikan penyebarannya secara semula jadi seperti ke arah laut," jelasnya.
Kebakaran hutan di Perancis kini merebak jauh ke arah selatan berhampiran Bordeaux yang telah menyebabkan 220,000 orang dipindahkan di bawah operasi pemindahan terbesar dalam sejarah negara Eropah Barat itu.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nunez memaklumkan kebakaran hutan di wilayah Gironde berhampiran Bordeaux, dilaporkan kekal stabil tanpa sebarang perkembangan besar.
Seramai 2,500 anggota bomba termasuk pasukan pemadam kebakaran dari Switzerland bersama 1,500 askar dan kira-kira 1,200 anggota polis telah dikerahkan ke Gironde. - AFP