Magny-Cours buka mata SIC Racing

Iklan
Aksi Qabil Irfan semasa Pusingan Keempat Kejuaraan Moto4 European Cup di Magny-Cours, Perancis. Foto: ZK Racing

KEPUTUSAN yang diraih pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan pada Pusingan Keempat Kejuaraan Moto4 European Cup di Magny-Cours, Perancis menjadi peringatan penting buat SIC Racing untuk segera memperkemaskan aspek penyediaan jentera dan pembangunan pelumba menjelang baki tiga pusingan musim ini.

Pengurus SIC Racing, Zulfahmi Khairuddin berkata, beberapa penambahbaikan akan dilakukan terhadap motosikal selain memberi tumpuan kepada aspek tunggangan Qabil Irfan bagi memastikan pelumba muda negara itu kembali bersaing dalam kelompok hadapan, sekali gus mencabar kedudukan podium pada pusingan seterusnya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, keputusan di Magny-Cours memberi banyak pengajaran kepada pasukan, khususnya dalam memastikan segala aspek persediaan dipertingkatkan bagi menghadapi baki saingan musim ini.

“Masih banyak ruang yang perlu kami perbaiki. Kami akan menggunakan tempoh rehat ini untuk memperkemaskan jentera dan meningkatkan aspek tunggangan supaya Qabil kembali kompetitif,” katanya.

Iklan

Pada aksi di Litar Nevers Magny-Cours pada Ahad, pelumba pasukan SIC-GRYD Racing itu berdepan hujung minggu yang mencabar apabila gagal menemui rentak terbaik sepanjang sesi latihan dan kelayakan, sekali gus terpaksa memulakan Perlumbaan 1 dari petak ke-22 dan Perlumbaan 2 dari petak ke-23.

Bagaimanapun, Qabil Irfan mempamerkan semangat juang tinggi apabila memintas ramai pencabar untuk menamatkan Perlumbaan 1 di tempat kelapan sebelum mengakhiri Perlumbaan 2 di kedudukan ke-15.

Iklan

Perlumbaan pertama dimenangi pelumba Itali, Lorenzo Pritelli daripada Team Echovit Pasini Racing, diikuti pendahulu keseluruhan kejuaraan dari Sepanyol, Alvaro Lucas (CFMOTO Aspar Junior Team) dan Víctor Cubeles (Team Impala Honda). Perlumbaan kedua pula dimenangi Cubeles, diikuti Lucas serta pelumba Colombia, Mateo Marulanda daripada AC Racing Team.

Sementara itu, Qabil Irfan mengakui masih bergelut menyesuaikan diri dengan karakter Litar Nevers Magny-Cours yang baharu buatnya, namun tetap berpuas hati apabila berjaya mengutip mata berharga menerusi aksi kebangkitan dalam Perlumbaan 1.

Menurutnya, dia berjaya meningkatkan catatan masa daripada 1 minit 50 saat kepada 1 minit 49 saat sepanjang sesi latihan, namun masih ketinggalan kira-kira satu saat di belakang kelompok hadapan.

“Saya cuba memperbaiki catatan masa pada sesi kelayakan, tetapi tidak berjaya dan hanya mencatat masa yang sama seperti sesi latihan, menyebabkan saya memulakan perlumbaan dari petak ke-22.

“Dalam Perlumbaan 1, saya terus memberi tekanan sejak awal dan berjaya memintas ramai pelumba untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.

“Bagaimanapun, Perlumbaan 2 lebih sukar kerana saya tidak mempunyai kelebihan untuk memotong pelumba lain dan akhirnya menamatkan saingan di tempat ke-15.

“Sudah tentu saya sedikit kecewa dengan keputusan kali ini, namun saya akan berusaha tampil lebih baik pada pusingan seterusnya,” katanya.

Meskipun berdepan hujung minggu yang mencabar, keputusan di Magny-Cours menyaksikan Qabil Irfan kekal menghuni tangga keenam keseluruhan kejuaraan dengan 61 mata selepas empat pusingan.

Alvaro Lucas terus menguasai kedudukan keseluruhan dengan 135 mata, diikuti Lorenzo Pritelli (99 mata), Mateo Marulanda (86 mata), Víctor Cubeles (85 mata) dan Edoardo Savino (80 mata), manakala Qabil hanya dipisahkan tiga mata dengan pelumba Sepanyol, Ignacio Galán yang berada di tangga ketujuh.

Saingan Moto4 European Cup kini berehat sebelum diteruskan di Circuit Ricardo Tormo, Cheste, Sepanyol dari 4 hingga 6 September depan. Tempoh tersebut akan dimanfaatkan SIC Racing untuk memperkemaskan persiapan jentera dan aspek tunggangan Qabil Irfan dalam usaha mengembalikan cabaran memburu kelompok lima terbaik keseluruhan.