KUALA LUMPUR - Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Isnin, menjelang mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) pada Selasa dan Rabu antaranya bagi menetapkan pendirian berkaitan kadar faedah.
Pada 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.0835/0875 berbanding dolar AS daripada 4.0885/0935 ketika ditutup pada Jumaat lepas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sepanjang dagangan, ringgit diniagakan dalam julat kecil kebanyakannya berbanding dolar AS.
"Pelabur kekal berhati-hati menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed (FOMC) yang dijadualkan pada 28 dan 29 Julai," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, harga minyak mentah susut selepas AS dan Iran menghentikan serangan pada hujung minggu, dengan minyak mentah West Texas Intermediate turuh 6.98 peratus kepada AS$83.08 RM339.42) setong manakala minyak mentah Brent menguncup 7.94 peratus kepada AS$89.10 (RM364.02) setong.
"Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk menilai keadaan ini, memandangkan perkembangan masih sangat tidak menentu,” katanya.
Pada akhir dagangan, ringgit tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Unit tempatan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4969/4994 daripada 2.4976/5008 ketika ditutup pada Jumaat lepas, dan meningkat berbanding euro kepada 4.6536/6581 daripada 4.6556/6613.
Unit domestik lebih tinggi berbanding pound British kepada 5.4433/4486 daripada 5.4442/4509.
Bagaimanapun, ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang tempatan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 226.7/227.0 daripada 227.6/227.9 pada Jumaat lepas, dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1653/1686 daripada 3.1667/1708.
Ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 12.1612/1775 daripada 12.1414/1606, dan susut berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.61/6.62. - Bernama